Pada bulan Julai 2023, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) telah membuat satu pelaburan yang bernilai sekitar RM200 juta atau AS$47.7 juta dalam sebuah syarikat pemula akuakultur dari Indonesia, iaitu eFishery.

Pada awalnya, syarikat ini tampil dengan imej yang sangat meyakinkan. Mereka mendakwa mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang menggunakan teknologi terkini.

Namun, di sebalik janji manis tersebut, rupa-rupanya wujud satu penipuan terancang yang melibatkan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat. Insiden ini secara langsung telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada dana persaraan penjawat awam kita.

Proses Penilaian dan Penjelasan Kerajaan

Berikutan kes yang mengejutkan ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen telah membangkitkan isu ini di Parlimen.

Beliau meminta penjelasan mengenai bentuk akauntabiliti dan pertanggungjawaban yang dikenakan ke atas pengurusan tertinggi dan panel pelaburan KWAP.

Menjawab persoalan tersebut, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan pencerahan.

Beliau menjelaskan bahawa kelulusan untuk melabur dalam eFishery bukanlah dibuat secara semberono.

Ia telah melalui proses tadbir urus dan penilaian yang ketat berdasarkan maklumat rasmi, termasuklah pengesahan penyata kewangan oleh juruaudit antarabangsa yang bertauliah.

Selain itu, KWAP tidak bersendirian dalam pelaburan ini. Ia turut disertai oleh syarikat pelaburan dan dana teknologi gergasi dunia seperti Temasek, SoftBank, 42XFund, dan Northstar.

Kesemua pelabur berprofil tinggi ini juga telah melaksanakan proses usaha wajar bebas mengikut standard kawalan antarabangsa sebelum meluluskan pelaburan mereka.

Langkah Tegas dan Usaha Pemulihan Dana

Walaupun proses yang teliti telah dijalankan, kelicikan penipuan ini memaksa pihak konsortium untuk bertindak balas.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah-langkah tegas dari sudut undang-undang dan usaha pemulihan dana sedang giat digerakkan oleh konsortium pelabur, termasuklah pihak KWAP sendiri lapor Berita Harian.

Di peringkat dalaman, KWAP telah melaksanakan semakan yang menyeluruh terhadap prosedur penilaian, kelulusan, dan pemantauan pelaburan.

Hasil siasatan dan semakan ini telah pun dibentangkan di hadapan Lembaga Pengarah KWAP untuk perbincangan terperinci.

Tindakan susulan juga telah diambil bagi memastikan ia selari dengan rangka kerja tadbir urus serta prinsip kebertanggungjawaban institusi tersebut.

Hukuman Buat Pengasas eFishery

Di pihak eFishery pula, tindakan undang-undang telah pun mengambil tempat. Pada tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah telah dihadapkan ke sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia.

Keadilan berjaya ditegakkan apabila beliau disabitkan kesalahan atas pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, seterusnya dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun.

Komitmen Berterusan KWAP

Kes ini pastinya menjadi satu pengajaran yang cukup bermakna dalam dunia pelaburan berisiko tinggi. Biarpun diuji dengan isu ini, KWAP kekal dengan komitmen utamanya untuk menguruskan dana persaraan penjawat awam dengan telus, penuh integriti, dan berakauntabiliti.

Bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali, langkah-langkah penambahbaikan telah pun dilaksanakan untuk memperkukuh sistem kawalan dan melindungi kepentingan pelaburan negara pada masa akan datang.

Sumber