Skandal yang melanda syarikat pemula (startup) teknologi akuakultur, eFishery, kini bukan lagi sekadar sebuah kes jenayah korporat biasa.

Sebaliknya, ia telah berkembang menjadi satu ujian getir terhadap kredibiliti Indonesia sebagai sebuah negara berorientasikan undang-undang, selain menuntut perlindungan hak ekonomi masyarakat serta pemulihan kepercayaan global.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Ahli Komisen 13 Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI), Dr. Rieke Diah Pitaloka, M.Hum, dalam satu kenyataan pendirian rasmi yang dikongsikan di Instagram peribadinya.

Menurut Rieke, kes ini telah menarik perhatian di peringkat antarabangsa memandangkan ia melibatkan dana daripada pelabur luar negara, termasuk Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dari Malaysia.

Komitmen Undang-Undang Rentas Sempadan

Sehingga kini, proses undang-undang telah pun dijalankan terhadap individu utama yang dikaitkan dengan kes ini, iaitu Gibran Huzaifah, Angga Hadrian Raditya, dan Andri Yadi, mengikut status perundangan masing-masing.

Bagaimanapun, Rieke mengingatkan bahawa prinsip praduga tak bersalah (presumption of innocence) wajib dihormati selagi mahkamah belum membuktikan mereka bersalah.

“Indonesia telah meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) 2003 menerusi Undang-Undang No. 7 Tahun 2006. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang tidak boleh terhad kepada penghukuman pelaku sahaja,” ujar beliau.

Tambah beliau, fokus utama pihak berkuasa sekarang sepatutnya terarah kepada usaha pemulihan aset (asset recovery), memulihkan kerugian yang dialami mangsa, serta memperkasakan kerjasama penguatkuasaan undang-undang rentas sempadan.

Beliau turut menggesa pengukuhan komunikasi dua hala antara Indonesia dan Malaysia bagi memastikan wujudnya kepastian undang-undang serta mengekalkan keyakinan pelabur asing.

Enam Cadangan Reformasi Perundangan

Bagi memastikan kes seumpama ini ditangani secara tuntas, Rieke mengemukakan enam syor dan rekomendasi utama kepada badan-badan berkaitan:

Polis, Jabatan Peguam Negara dan PPATK Indonesia: Mengoptimumkan siasatan, pengesanan aset, memohon Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA), serta menjalankan siasatan terperinci ke atas semua pihak yang terlibat berdasarkan bukti yang sah.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung: Menjamin proses rayuan dan kasasi dijalankan secara bebas, telus, dan saksama.

Komisen Kehakiman: Memantau dengan ketat integriti para hakim yang mengendalikan kes.

Lembaga Perkhidmatan Kewangan: Mempertingkat pengawasan ke atas ekosistem syarikat pemula (startup), proses audit, serta profesion sokongan perniagaan.

Kerajaan Republik Indonesia: Memperkasakan komunikasi dua hala dengan Malaysia serta kerjasama perundangan rentas sempadan selaras dengan instrumen UNCAC.

Presiden Dan Dewan Perwakilan Rakyat Republik: Mempercepatkan perbincangan Rang Undang-Undang (RUU) Kitab Undang-Undang Hukum Perdata (KUHPerdata) bagi menggantikan undang-undang lama, BW 1847.

Titik Balik Reformasi Perundangan

Menutup kenyataan beliau, Rieke menegaskan bahawa skandal eFishery ini harus dijadikan titik balik (turning point) kepada reformasi perundangan menyeluruh di Indonesia.

“Negara tidak seharusnya sekadar mampu menghukum, malah wajib memulihkan keadilan, mengembalikan semula kepercayaan global, serta memastikan Indonesia bukan sebuah tempat yang selamat atau ‘syurga’ bagi jenayah korporat,” kata Rieke.