Sebahagian individu mungkin mengganggap wang yang tersalah masuk ke dalam akaun bank daripada pihak tidak dikenali sebagai satu ‘rezeki’.
Namun, tidak bagi seorang individu bernama Irriana Azreen apabila sanggup menjejak pemilik asal dan mengembalikan semula wang yang didakwa tersalah transfer ke dalam akaun peribadinya.

Menerusi ciapan di akaun miliknya, wanita berkenaan berkongsikan kisahnya dalam menjaga wang tersebut dengan mengasingkan dan menyimpannya di dalam akaun tabungnya di Maybank.

“Saya rasa bersyukur sebab saya bukan jenis tak gelap mata nampak duit lebih-lebih lagi diuji dengan tindakan individu salah transfer RM30,000 ke dalam akaun.
“Selama dua minggu saya tunggu tapi masih tiada individu yang mahu claim (membuat tuntuan). Saya terpaksa trace (mengesan) sendiri pemberi wang itu.
“Akhirnya, selepas tempoh sebulan, saya dapat jumpa pelaku yang tersalah transfer (hantar) dan kembalikan wang tersebut kepadanya,” katanya.
Menurut wanita itu lagi, kesilapan transaksi tersebut boleh berlaku disebabkan kecuaian oleh penerima asal yang memberikan maklumat nombor akaun yang salah pada dua digit terakhir kepada pemberi wang itu.
Dalam pada itu, wanita tersebut memberitahu, dia berjaya mengesan pemberi wang melalui nama agensi yang tertera di transaksi dan meminta pertolongan kenalan yang lebih arif kerana maklumatnya di Google sudah lapuk.
“Saya dapat tahu itu adalah agensi syarikat pelancongan, nasib baik saya ada rakan dari bidang yang sama untuk bantu mencari pelaku tersebut,” ujarnya.
Dia turut mendedahkan telah mengambil langkah berwaspada dalam menentukan pemilik sebenar wang tersebut dengan meminta sejumlah maklumat bagi tujuan pengesahan.


“Saya memastikan saya tidak ditipu dengan bertanya dahulu kepada pelaku berkenaan maklumat transaksi, tarikh, nama dan sebagainya.
“Dia (pemberi wang) terus memberi resit dengan nama penuh, nombor akaun, jumlah yang sama serta report yang dilakukan benar apabila transaksi menunjukkan bukti bahawa nombor belakang dua digit memang terbalik,” katanya.
Susulan perkongsian menarik itu, rata-rata netizen memuji tindakan wanita itu kerana jujur dan sedia memulangkan semula wang RM30,000 kepada pemilik asal.


Netizen turut mendoakan agar dia dimurahkan rezeki kerana bersifat jujur dan meminta orang ramai untuk mencontohi kelakuan sedemikian jika berlaku di masa kelak.