Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkan peruntukan sebanyak RM85.6 juta kepada Jabatan Landskap Negara bagi meneruskan inisiatif 1,000 Taman Rekreasi MADANI.
Nga berkata kerajaan pada asalnya menyasarkan pembinaan 100 Taman Rekreasi MADANI setiap tahun, petik The Star.
Baca Juga:
- Bakal Tinggalkan DBKL, Maimunah Dilantik Penasihat Hartanah PETRONAS, Bantu Rangka Projek Kota MADANI

- Bandar MADANI Bukit Jalil Bakal Mula Dibina Tahun Hadapan

- Penjawat Awam Tinggal Di Kota Madani Boleh Jimat RM1,000 Sebulan

“Sehingga kini, 216 Taman MADANI telah siap dibangunkan di seluruh negara, dengan yang terbaharu di Taman Lanjak Batu Gajah, sekali gus melepasi sasaran asal.
“Kita menyasarkan tambahan 100 taman lagi akan dibina tahun hadapan,” katanya selepas merasmikan Ruang Komuniti (Rukom) di Pangsapuri Seri Kepayang pada Sabtu (6 Dis).
Pada masa ini, Perak sahaja mempunyai 34 Taman MADANI, antara jumlah tertinggi direkodkan di peringkat nasional.
Nga turut menggesa orang ramai menjaga kebersihan ruang awam.
Beliau menambah bahawa terdapat insiden kemudahan taman dicuri, termasuk bangku dan lampu.
“Ia sangat mengecewakan. Ada yang bawa balik bangku, ada juga yang tanggalkan lampu. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, tolong tunjukkan kesedaran sivik,” katanya.
Beliau menambah bahawa pemantauan akan dipertingkatkan di bawah program Bandar Selamat, termasuk pemasangan sistem CCTV secara lebih meluas bagi mengurangkan kes kecurian di ruang awam.