Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertanggungjawab atas pelanggaran hak cipta berhubung siri nombor plat kenderaan “MADANI”, petik Free Malaysia Today.
Dalam penghakiman yang disampaikan pada 14 Julai oleh Pesuruhjaya Kehakiman Edwin Paramjothy Michael Muniandy, mahkamah telah mengarahkan defendan membayar ganti rugi statutori dan ganti rugi tambahan sebanyak RM40,000 kepada plaintif, Hasan Azhari Hashim, berserta kos mahkamah berjumlah RM25,000.
Peguam yang mewakili Hasan, Rajesh Nagarajan, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak defendan mempunyai tempoh sebulan dari tarikh penghakiman tersebut untuk mengemukakan rayuan.
Kronologi Kes Penuntutan Hak Cipta Nombor Siri ‘MADANI’
Februari 2023: Hasan, yang juga Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, telah menghantar kertas cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Cadangan tersebut adalah untuk menjalinkan kerjasama bagi penjualan nombor plat khas siri MADANI 1 hingga 9999, berdasarkan karya miliknya yang telah didaftarkan hak cipta.
April 2023: JPJ membalas cadangan tersebut melalui sepucuk surat yang menyatakan bahawa pihak jabatan tidak akan mengeluarkan siri nombor plat “MADANI”.
Oktober 2024: Hasan mendapati bahawa JPJ telah mengeluarkan notis awam mengenai penawaran siri nombor plat “MADANI” dengan harga bidaan bermula dari RM100.
November 2024: Hasan mengumumkan rancangan untuk menyaman kerajaan sebanyak RM1.3 juta atas dakwaan melanggar hak harta intelek. Beliau menegaskan bahawa beliau merupakan pemilik sah hak cipta kertas kerja berkaitan perkara itu di bawah Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
15 Januari 2025: Hasan secara rasmi memfailkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Pengarah JPJ selepas mendakwa pihak kerajaan telah mengambil alih idea dan karya hak ciptanya secara tidak sah.