Legenda Brazil, Roberto Carlos mendedahkan dia pernah kehilangan hampir keseluruhan kekayaan yang dikumpul sepanjang karier bola sepaknya.

Bekas pertahanan Real Madrid itu berkata dia kehilangan kira-kira 99 peratus daripada segala pendapatan yang diperolehnya selepas berdepan masalah melibatkan ejen dan keluarganya.

“Saya mempunyai masalah dengan individu yang mengosongkan akaun bank saya. Disebabkan masalah dengan ejen dan keluarga, saya kehilangan 99 peratus daripada segala yang saya peroleh daripada bola sepak,” katanya ketika bercakap di Portugal Football Summit.

Roberto Carlos, 53, yang membantu Brazil memenangi Piala Dunia 2002, dipercayai mengumpul kekayaan lebih €160 juta sepanjang kariernya.

Namun, hampir keseluruhan hasil tersebut lenyap akibat masalah kewangan yang dialaminya.

“Saya mempunyai masalah yang sangat serius dengannya. Saya juga mempunyai masalah keluarga yang sangat serius. Pada malam Khamis, saya tidur pada tengah malam dan pada hari Jumaat, saya menerima satu timbunan dokumen yang saya langsung tidak tahu mengenainya,” katanya.

“Ketika itulah saya sedar bahawa saya telah kehilangan seluruh sejarah yang saya bina.”

Roberto Carlos menggambarkan pengalaman tersebut sebagai satu mimpi ngeri.

Bagaimanapun, bekas pemain Real Madrid itu mengakui pengalaman berkenaan menjadi pengajaran besar buat dirinya dan dia mahu pemain muda mengelakkan kesilapan sama.

“Saya melakukan kesilapan dan sebab itu saya meminta pemain-pemain muda supaya jangan melakukan kesilapan yang sama,” katanya.

Roberto Carlos turut mendedahkan bahawa dia sebenarnya sudah memikirkan kehidupan selepas bersara sejak masih bergelar pemain.

“Saya sentiasa memikirkan perancangan masa depan selepas karier sebagai pemain. Ia mengenai membina sejarah sebagai pemain dan menggunakan imej yang kita bina.”

Apabila meninggalkan bola sepak, Roberto Carlos berkata dia sudah memiliki lesen pengarah sukan dan turut bekerjasama dengan beberapa jenama.

Kisah tersebut menjadi peringatan bahawa pendapatan besar dalam bola sepak tidak semestinya menjamin masa depan sekiranya urusan kewangan dan profesional tidak diuruskan dengan baik.