Pemain naturalisasi negara, Romel Morales menegaskan bahawa satu penghormatan untuk beliau dapat beraksi bersama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Romel merupakan salah satu dari 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari nanti.

Baca Juga:

Ketika ditemui pada sesi latihan, pemain kelahiran Colombia itu bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyarung jersi pasukan negara.

Romel Morales
Romel Morales

“Saya bersyukur dengan peluang sebegini dan ini satu penghormatan buat saya. Walaupun baru enam tahun di sini, saya sudah rasa bagaikan sudah menjadi sebahagian daripada negara ini,” katanya.

Meskipun baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia, Pan-gon terus memanggil Romel Morales bagi menyertai skuad kebangsaan dan beliau mempunyai harapan tinggi untuk penyerang Kuala Lumpur City itu.

“Pemain baharu yang dibawa masuk memberi kelebihan terhadap kami terutamanya dari segi pengalaman. Saya harap mereka sedar rakyat Malaysia memberikan sokongan padu dan seterusnya boleh menunjukkan prestasi yang bagus bersama skuad kebangsaan.

“Kami jemput mereka untuk menyertai pasukan kebangsaan dan saya percaya mereka akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Ada segelintir peminat bola sepak tanah air yang mempersoalkan kehadiran Romel dalam skuad kali ini dimana beliau belum pernah beraksi di bawah bimbingan Pan-gon sebelum ini.

Akan tetapi, kekurangan pemain di posisi penyerang memaksa Pan-gon untuk mengambil risiko dengan Romel sekaligus memberikan persaingan terhadap penyerang sedia ada iaitu Darren Lok.

Dalam masa yang sama, Pan-gon turut menyatakan bahawa beliau tidak dapat memanggil tiga pemain atas faktor kecederaan dan juga hal peribadi.

“Saya gembira dengan pemilihan pemain kali ini walaupun tidak mendapat dua pemain iaitu Shahrul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad kerana kecederaan.

“Kita juga menjemput Feroz Baharudin tetapi dia ada perancangan untuk berkahwin, jadi tahniah diucapkan kepada Feroz tetapi ini adalah skuad terbaik buat masa ini.