Skuad Harimau Malaya bakal menguji ‘senjata baharu’ di Piala Asia 2023 selepas pemain KL City FC, Romel Morales dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula 26 Disember ini.

Pemain kelahiran Colombia itu kini telah menjadi pemain naturalisasi negara dan ini memberi pilihan tambahan kepada pengendali pasukan, Kim Pan Gon untuk membentuk jentera serangan yang cukup mantap.

Baca Juga:

Berdasarkan rekod, Morales telah menjaringkan 8 gol dalam 20 penampilan dalam saingan Liga Super musim ini.

Rakan sepasukannya di KL City, Paulo Josue yang juga pemain naturalisasi negara menyifatkan kehadiran Morales bakal menjadikan serangan Harimau Malaya lebih tajam di depan gawang gol lawan.

“Dia boleh mengelecek, memegang bola dan juga menjaringkan gol. Kemasukannya menjadikan Harimau Malaya lebih kuat.

“Kita juga ada Darren Lok, penyerang yang sentiasa bekerja keras dan ini akan memberi banyak pilihan untuk menguatkan lagi pasukan,” katanya dalam NST.

Morales menyertai KL City pada 2021, selepas meninggalkan Melaka United, tetapi dia telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2018, dan pernah bermain untuk PKNS FC selama dua musim.

Selain Morales, Harimau Malaya turut diperkuatkan oleh dua pemain tempatan yang meningkat naik dalam saingan Liga Super iaitu Arif Aiman dan Faisal Halim.

Kedua-dua pemain itu berada dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super apabila masing-masing menjaringkan 12 gol.

Bagi saingan Piala Asia 2023 di Qatar nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.