Ole Romeny yang merupakan penjaring gol tunggal Indonesia ketika menundukkan Bahrain malam tadi semakin optimis untuk membawa skuad Garuda beraksi di Piala Dunia 2026.
Membuat dua penampilan bersama skuad kebangsaan Indonesia, Romeny yang beraksi bersama Oxford United pantas memberikan impak positif dengan dua jaringan disumbangkannya.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Gol Romeny Pastikan Kemenangan Indonesia Atasi Bahrain
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Bukan Permulaan Diharapkan Buat Kluivert, Indonesia Dibelasah Australia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Dua Gol Marselino Ferdinan Pastikan Kejayaan Indonesia Tewaskan Arab Saudi
Sebelum ini pada aksi pertamanya, Romeny menghadiahkan jaringan saguhati ketika Indonesia dibelasah Australia 1-5 di Sydney.

Dengan kejayaan menundukkan Bahrain, Indonesia kini mengintai peluang untuk berada di kedudukan ketiga atau keempat untuk meneruskan misi besar mereka.
Hal ini kerana sekiranya skuad kendalian Patrick Kluivert itu gagal menempatkan diri di kedudukan kedua yang menawarkan slot automatik, Indonesia masih berpeluang dengan aksi play off sekiranya menamatkan saingan ditangga ketiga atau keempat bagi aksi kelayakan pusingan keempat.
Impian Besar Ole Romeny
Sehubungan dengan itu, Romeny tekad memberikan segalanya untuk melakar sejarah buat bola sepak moden Indonesia.
“Ya, itulah matlamat kami. Matlamatnya sudah tentu untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia, dan apa jua keputusannya, itu tidak menjadi masalah.”

“Kami akan cuba menghadapi setiap perlawanan satu demi satu, memberikan segala-galanya, dan memasuki undian (Kelayakan Piala Dunia) itu dengan keyakinan,” ujar pemain berusia 24 tahun itu menurut sumber laporan Goal Indonesia.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, Indonesia kini berada di kedudukan keempat dengan sembilan mata, ketinggalan satu mata dibelakang Arab Saudi dan memiliki kelebihan tiga mata meninggalkan Bahrain dan China.