Hanya mengambil masa dua minit, tiga individu bersenjata melarikan barang kemas dianggarkan bernilai hampir RM1.7 juta dari sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands sekitar jam 11.40 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob mengesahkan suspek yang memakai topi serta pelitup muka menyerbu premis berkenaan bersenjatakan kapak dan kuku lambing, petik Berita Harian.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek menaiki sebuah kenderaan ke puncak peranginan tersebut sebelum melarikan diri menuruni Genting Highlands sejurus selepas kejadian.
“Suspek yang memakai topi, pelitup muka dengan bersenjatakan kapak dan kuku lambing mengambil masa sekurang-kurangnya dua minit untuk melakukan rompakan.
“Kesemua mereka kemudian turut dikesan menuruni Genting Highlands, sejurus melakukan rompakan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Usaha memburu suspek kini giat dijalankan menerusi kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Pahang, dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong.
Sementara itu, pihak polis telah melancarkan ‘Op Tutup’ bermula jam 12 tengah hari hingga petang tadi.
Walau bagaimanapun, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan suspek dipercayai telah melepasi pusat pemeriksaan lebih awal sebelum operasi berkenaan dilaksanakan.