Sebuah restoran di Genting Highlands yang tular pada Mac lalu susulan dakwaan mengenakan caj RM900 bagi hidangan ikan patin kukus kepada sekumpulan pelancong, disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, siasatan dan analisis yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mendapati tiada sebarang elemen pencatutan berlaku, petik New Straits Times.

Beliau menegaskan bahawa premis berkenaan tidak melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan.

“Kadar RM338 sekilogram yang dikenakan bagi ikan patin seberat 2.7 kilogram itu didapati masih berada di bawah margin keuntungan yang dibenarkan.

“Malah, pihak restoran juga telah menyatakan dengan jelas di dalam menu mereka bahawa ikan tersebut dijual pada harga RM33.80 bagi setiap 100 gram,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Kronologi Notis Bertulis

Menurut Sim, susulan aduan dan laporan yang diterima pada bulan Mac, KPDN negeri telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan satu notis bertulis kepada restoran terbabit pada 4 April lalu untuk siasatan lanjut sebelum kesimpulan penuh diperoleh.

Kontroversi ini sebelum ini mencetuskan kekecohan dan perdebatan hangat di media sosial selepas sekumpulan 13 orang pelancong mendakwa mereka telah dikenakan caj melampau mencecah lebih RM900 hanya untuk satu hidangan ikan tersebut.

Walau bagaimanapun, hasil siasatan rasmi kini membuktikan pemilik premis mematuhi peraturan paparan harga yang ditetapkan.