Sebuah restoran di Gohtong Jaya, Genting Highlands kini sedang disiasat susulan kekecohan orang ramai berhubung hidangan ikan patin stim yang berharga RM902.
Sin Chew Daily melaporkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Pahang telah menjalankan pemeriksaan di Restoran Loong Kee pada hari Khamis, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- Tol Genting Highlands: Pakar Kongsi Kesannya Kepada Poket Anda & Harga Hartanah

- Taman Tema Upin & Ipin Akan Dibuka Di Genting Highlands

- ‘Hanya Penguatkuasaan Polis Paling Berkesan Cegah Kemalangan Di Genting Highlands’ – Pakar

Pemeriksaan tersebut mengesahkan bahawa harga ada dinyatakan dengan jelas pada menu, iaitu RM33.80 bagi setiap 100g.
Pihak berkuasa telah mengeluarkan notis yang memerlukan pihak restoran mengemukakan maklumat terperinci mengenai kos dan penentuan harga dalam tempoh empat hari bekerja bagi menentukan sama ada wujud unsur pencatutan.
Memetik laporan itu lagi, sekumpulan 13 pelancong dikenakan caj sebanyak RM902 untuk hidangan tersebut pada 16 Mac lalu. Ikan seberat 2.7kg itu dijual pada harga RM338 sekilogram.
Pemilik restoran menegaskan bahawa ikan tersebut, iaitu patin sungai liar, adalah sukar didapati dan harganya ditentukan berdasarkan berat tanpa sebarang caj tersembunyi.
Seorang kakitangan juga menyatakan bahawa harga dan jenis ikan telah dijelaskan, malah cadangan untuk mengambil separuh bahagian juga telah diberikan berdasarkan saiz kumpulan tersebut.
Komunikasi tidak mencukupi
Walau bagaimanapun, pemilik mengakui bahawa komunikasi mengenai harga keseluruhan adalah tidak mencukupi, yang menyumbang kepada ketidakpuasan hati pelanggan.
Restoran tersebut kini berikrar untuk meningkatkan ketelusan dengan memaklumkan harga keseluruhan hidangan makanan laut kepada pelanggan sebelum mengesahkan pesanan. Pihak restoran juga telah menghubungi pelanggan yang terjejas untuk menyelesaikan isu tersebut.
Sementara itu, pihak kementerian menyatakan bahawa mengikut peraturan untuk membendung pencatutan melampau, peniaga mesti memastikan harga jualan tidak melebihi 100 peratus daripada kos barangan setelah mengambil kira perbelanjaan operasi.