Pengurus Chelsea, Liam Rosenior telah mempersoalkan gol Jurrien Timber ketika kekalahan Chelsea, 1-2 kepada Arsenal pada aksi minggu ke-28 Liga Perdana Inggeris.

Ditanya sama ada Rosenior merasakan pengadil patut lebih baik dalam situasi tersebut, Rosenior berkata: “Ya, sebab ada peraturan berkaitan. Memang ada peraturan yang menyatakan bahawa, ianya tidak boleh dikira foul sekiranya bola tidak dimainkan semula.”

Rosenior berkata, pemain Arsenal menolak pemain pemainnya sebelum bola sepakan penjuru dilepaskan dan sebelum bola masuk ke gawang.

“Jadi, terlalu banyak tolak menolak sebelum bola itu benar benar masuk. Saya rasa, perkara tersebut harus disemak semula. Kerana menolak lawan tetap menolak lawan.”

Rosenior turut mengkritik disiplin pemain pemainnya selepas satu lagi kad merah yang menjadi realiti membimbangkan berkaitan disiplin pasukan.

Selepas Pedro Neto dilayangkan kad merah (akibat dua kad kuning dalam tempoh tiga minit), Chelsea kini telah merekodkan 10 pemain yang digantung dalam semua pertandingan musim ini kerana kad disiplin.

Kad merah tersebut menjadikan “The Blues” sebagai pasukan dengan rekod disiplin terburuk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Kerap terpaksa beraksi dengan 10 pemain jelas menjejaskan peluang kelab London itu untuk mengutip mata. Pada perlawanan sebelum ini, Wesley Fofana turut dibuang padang, menyebabkan Chelsea sekadar seri menentang Burnley di Stamford Bridge.

Selepas perlawanan, jurulatih Liam Rosenior tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap sikap pemain-pemainnya. Beliau menegaskan bahawa masalah disiplin sudah berakar dalam pasukan dan perlu ditangani segera.

Ini kerana menurut Rosenior kurang seorang pemain akan menyukarkan mereka melaksanakan taktikal mereka. Dari sudut taktikal, Chelsea adalah kuat, namun isu disiplin kerap menjadi masalah.

“Kita tidak boleh menerima perkara ini. Corak permainan Chelsea mempunyai banyak kekuatan dari segi taktikal, tetapi jika kita tidak menghapuskan masalah kurang kawalan diri ini, kita akan membayar harga yang mahal,” tegas Rosenior.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan mengenakan denda kewangan, pengendali berusia 41 tahun itu berpendapat ia bukan penyelesaian sebenar:

“Denda bukan inti masalah. Ini soal fokus. Saya rasa pemain tidak memikirkan soal pemotongan gaji ketika berada di atas padang. Kita perlu mencari punca sebenar mengapa disiplin semakin merosot.”

Selain isu kad, Chelsea juga memperlihatkan kelemahan ketara dalam mempertahankan situasi bola mati. Kedua-dua gol yang dibolosi ketika menentang Arsenal berpunca daripada sepakan penjuru. Kapten Reece James mengakui kekecewaannya apabila pasukan gagal mengawal permainan meskipun sempat mengimbangi kedudukan dengan “The Gunners”.