Lagenda Manchester United Roy Keane mencadangkan agar Cristiano Ronaldo melupakan pentas bola sepak antarabangsa dan berehat sahaja di rumah.

Ronaldo dikatakan mahu beraksi di Piala Dunia 2026 pada usia 41 tahun namun Keane menyifatkan aksinya sudah tidak seperti dahulu dan pasti akan mendatangkan kerugian kepada Portugal.

Baca Juga:

Pendapat itu turut dipersetujui oleh Gary Neville dan Ian Wright dalam satu rancangan TV, Stick to Football: The Overlap Special.

“Dia (Ronaldo) patut berehat dan melupakan kancah bola sepak antarabangsa dan jika dia masih beraksi di peringkat kelab, maka tunggu saja Piala Dunia Kelab apabila ia tiba.

“Kita lihat kepada (Harry) Kane apabila Kane kurang berfungsi dan penjaring utama anda tidak beraksi baik, anda bermain dengan 10 orang. Apabila anda bermain di tahap tertinggi, anda tidak boleh membawa sesiapa saja. Pergerakan dia (Ronaldo) masih ada di sana – menentang Perancis, cemerlang.

“Dia (Ronaldo) boleh terus bermain tetapi tidak bagi bola sepak antarabangsa. Berapa ramai pemain yang kita ketahui berhenti beraksi di peringkat antarabangsa pada usia muda dan jelas meneruskan karier yang bagus di peringkat kelab,” kata Keane.

Portugal tersingkir di tangan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir Euro 2024 hujung minggu lalu.

Ronaldo diturunkan dalam kesebelasan utama semua lima perlawanan pasukannya namun gagal menjaringkan sebarang gol.

Difahamkan dia beraksi kejohanan terakhir buat negaranya ketika Piala Dunia 2026 akan datang namun Keane, Neville dan Wright berasakan sudah tiba masanya untuk melangkah pergi.

Wright berkata: “Portugal patut berasa amat kecewa (tersingkir daripada Euro 2024) kerana betapa bagusnya mereka – apabila anda lihat mereka dari benteng pertahanan hingga ke serangan.

“Cara dia (Ronaldo) beraksi pada Euro 2024, tak sehebat seperti dulu, pastinya Diogo Jota berasa amat kecewa dia tidak dapat turun ke padang.

“Apa yang saya lihat dia (Ronaldo), dia tidak mampu lagi berada pada tahap ini. Sebagus mana dia pun, secergas mana dia pun, semangat juang dia pun, anda boleh lihat dia tidak mampu untuk melakukan jaringan, gerakan dengan satu tandukan, dia tidak dapat melepasi seorang pemain pertahanan kini.”