Tayangan siri animasi kanak-kanak “Santiago of the Seas” di RTM ditangguhkan berkuat kuasa hari ini. Keputusan ini dibuat bagi membolehkan pihak RTM menjalankan siasatan dan penilaian lanjut terhadap keseluruhan kandungan siri tersebut.

Keputusan drastik ini didorong pandangan dan maklum balas awam berhubung kandungan yang disiarkan dalam Episod 22 pada 16 November 2025, jam 10 pagi di TV2.

Walaupun semakan awal RTM mendapati kandungan tersebut tidak melanggar etika, penghentian siaran dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.

RTM menjelaskan bahawa semakan awal terhadap episod kontroversi mendapati “tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu.”

Walau bagaimanapun, siaran animasi itu dihentikan bagi mengelakkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, sementara siasatan menyeluruh ke atas keseluruhan siri dijalankan.

RTM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan sentiasa mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidakselesaan mana-mana pihak.

Pihak RTM juga meminta kerjasama awam untuk tidak membuat spekulasi, dan sebarang maklumat sahih hendaklah dirujuk terus kepada Jabatan Penyiaran Malaysia.