Demam Piala Dunia 2026 kian terasa apabila Kementerian Komunikasi secara rasmi mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar utama kejohanan berprestij itu.

Langkah ini diambil bagi memastikan seluruh peminat bola sepak tanah air dapat menikmati aksi kualiti dunia secara inklusif tanpa mengira lokasi.

Menariknya, bagi edisi kali ini, RTM turut mendapat sokongan padu daripada Unifi TV selaku rakan penyiar bagi memberikan capaian yang lebih meluas kepada penonton.

Akses Piala Dunia Percuma Di RTM, Pakej Lengkap Di Unifi TV

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, peminat boleh memilih untuk menonton menerusi platform percuma atau berbayar bergantung kepada keselesaan masing-masing.

RTM dijadualkan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda menerusi saluran MyTV Broadcasting dan aplikasi penstriman RTM Klik.

“Sementara kesemua 104 perlawanan pula akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, sekali gus memberi pilihan menyeluruh kepada peminat bola sepak di negara ini,” ujar beliau menurut sumber laporan BH Online.

Pemilihan RTM sebagai teraju utama penyiaran adalah bukti komitmen kerajaan dalam menyediakan akses sukan bertaraf antarabangsa secara percuma kepada rakyat marhaen.

Pengisian Menarik & Kos Penyiaran

Bukan sekadar siaran perlawanan, aura Piala Dunia akan diperhangatkan lagi dengan program khas ‘Grandstand’ yang akan bersiaran terus dari Angkasapuri Kota Media.

Program ini bakal menampilkan ulasan dalam dwibahasa (Bahasa Melayu dan Inggeris). Selain itu, perkembangan terkini kejohanan juga akan dikongsikan secara harian menerusi segmen Selamat Pagi Malaysia.

Menyentuh mengenai aspek kewangan, Datuk Fahmi memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM24 juta bagi tujuan hak penyiaran ini.

“Sebahagian kos dijangka ditampung melalui tajaan sektor swasta yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Sumber