Setiap pemilikan ada tanda pengenalannya. Jika berkahwin, ada kad nikah. Lengkap dengan nama penuh, nombor kad pengenalan dan gambar.

Jika rakyat Malaysia, ada kad pengenalan birunya, siap dengan muka, nama penuh dan nombor kad pengenalan serta status warganegara.

Jika beli kenderaan, ada gerannya. Siap dengan nombor plat, model, kapasiti dan sebagainya.

Jika beli rumah atau tanah, ada geran atau dikenali sebagai hak milik. Siap dengan nama pemilik, ukuran luas, no lot/ PT, syarat nyata dan sebagainya.

Bukti pemilikan

Semua tanda pengenalan ini adalah sebagai membuktikan pemilikan ke atas sesuatu perkara tersebut. Bila ada tanda pengenalan ini, orang lain tidak boleh pertikai hak pemilikannya.

Kita melihat ada beberapa operasi kerajaan yang melibatkan perobohan rumah kediaman sama ada yang baru diduduki atau telah pun diduduki berpuluh tahun sebelum ini.

Bila berlaku situasi ini, mulalah keyboard warrior menaip “inikah yang dinamakan rakyat didahulukan?” “kenapa tiada perikemanusiaan?” dan pelbagai lagi kata-kata tuduhan yang tidak enak.

Yang paling tak tahan baca “balasan nerakalah untuk penguatkuasa dan pemerintah yang zalim ini” – seolah-olah dia itu suci sangat.

Fahami undang-undang tanah

Tuan, fahami dulu undang-undang tanah sebelum mula mempertikaikan tindakan penguatkuasaan berkenaan.

Jika ‘rumah anda’ itu milik anda, tunjukkan geran hak milik kerana hak milik anda tidak boleh disangkal pemilikannya.

Jika kerajaan perlu mengambilnya juga untuk tujuan awam dan perlu merobohkannya, adalah wajib kerajaan membayar pampasan terlebih dahulu. Ini akan melalui proses pengambilan balik tanah. Rujuk Akta Pengambilan Tanah 1960.

Tetapi jika anda sendiri tidak dapat membuktikan pemilikan tersebut, senang cerita hak milik pun tiada, berkemungkinan anda sedang menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.

Sahkan hak milik tanah

Bagaimana untuk mengetahuinya? Senang sahaja. Pergi ke Unit Pelan di pejabat tanah, jumpa petugas kaunter pelan.

Tunjukkan lokasi rumah anda dalam sistem dan anda akan dimaklumkan oleh petugas mengenai status tanah tersebut sama ada tanah kerajaan, tanah rezab atau sebagainya.

Anda boleh bertanya sama ada lokasi berkenaan boleh dipohon pemilikan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) atau tidak.

Jika dibolehkan, isilah borang Jadual 1 dan lengkapkan permohonan dan tunggulah sahaja sama ada permohonan anda diluluskan atau ditolak oleh kerajaan negeri.

Jika tidak dibolehkan, akurlah bahawa anda sedang menduduki tanah kerajaan secara tidak sah, tidak kiralah walau anda telah duduk di sana berpuluh tahun sebelum ini.

Kesalahan

Ini merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang boleh dikenakan denda atau penjara jika disabitkan kesalahan. Di samping itu, pihak-pihak berkuasa boleh mengambil tindakan di bawah seksyen 426A Kanun yang sama.

Adalah menjadi hak kerajaan untuk menguatkuasakan pengosongan tanah berkenaan melalui Seksyen 425 KTN yang mana perobohan boleh dilaksanakan sekiranya anda tidak mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Dalam hal ini, bolehkah anda meminta pampasan daripada kerajaan? Anda boleh minta tapi bukanlah menjadi obligasi atau tanggungjawab kerajaan untuk memberi pampasan. Pampasan hanya diberikan kepada Akta Pengambilan Tanah sahaja.

Ada yang akan persoalkan kenapa ada orang lain mendapat pampasan apabila pemaju hendak membangunkan tanah? Perlu faham, wang yang dikatakan ‘pampasan’ itu adalah ihsan pemaju dan bukanlah kewajipan kerajaan untuk membayar pampasan.

Satu lagi, tidak cukupkah ihsan daripada kerajaan yang telah ‘membiarkan’ anda terus menerus menduduki dan mendiami tanah kerajaan secara tidak sah sejak sekian lama?

Anda tidak membayar sebarang hasil kepada kerajaan negeri baik sewa (cukai tanah) atau cukai taksiran.

Bahkan ada pula yang mengaut hasil secara tidak sah dengan ‘memajakkan’ atau ‘menyewakan’ tanah kerajaan tersebut kepada pihak ketiga.

Oleh itu, fahamilah dahulu undang-undang tanah sebelum mencelakakan atau menerakakan orang lain.

Layari www.tanahkosong.com untuk pelbagai info tanah.