Sebanyak 39 unit rumah teres dua tingkat gaya pra-perang yang terletak di George Town, Bangkok Lane, iaitu betul-betul di belakang kedai mee goreng Bangkok Lane, kini dibuka untuk jualan menerusi tender terbuka.
Rumah-rumah ini, bersama-sama dengan beberapa kluster hartanah lain termasuk rumah kedai dan lot komersial di sekitar Jalan Burma dan Jalan Kelawai, adalah sebahagian daripada aset milik amanah mendiang Cheah Leong Keah, seorang tokoh perniagaan berpengaruh yang pernah menguasai bidang pengangkutan, ladang getah dan hartanah di Pulau Pinang pada awal abad ke-20.
Menurut laporan Edge Property, menerusi maklumat yang diperoleh daripada ejen hartanah tempatan, nilai keseluruhan hartanah ini dianggarkan antara RM300 juta hingga RM400 juta.
Dibuka Untuk Jualan Selepas 80 Tahun
Apa yang lebih menarik, ini merupakan kali pertama hartanah-hartanah tersebut ditawarkan kepada umum sejak lebih 80 tahun lalu.
Ini kerana salah satu klausa dalam amanah Cheah menetapkan bahawa kesemua hartanah ini tidak boleh dijual sehinggalah selepas 80 tahun dari tarikh pemergiannya pada tahun 1941.
Dan kini, amanah tersebut telah “matang” – menjadikan semua unit ini sedia untuk dimiliki oleh pemilik baharu.
Lokasi Yang Menarik Di Tengah George Town
Antara yang paling menarik dalam kelompok ini ialah dua deret rumah warisan di Bangkok Lane, yang menampilkan seni bina Straits Eclectic yang masih utuh – lengkap dengan tingkap kayu asli, jubin hiasan lama dan fasad yang halus seninya.
Terletak di lokasi yang strategik dan penuh nilai sejarah, kawasan ini juga dikenali sebagai titik penting dalam usaha pemuliharaan warisan George Town, yang kini merupakan tapak Warisan Dunia Unesco.
Potensi pembangunan semula untuk rumah-rumah ini sangat besar, terutamanya untuk dijadikan hotel, galeri seni, restoran berkonsep warisan, atau ruang kedai unik yang mampu menarik pelancong serta peminat sejarah seni bina.
Tanah keseluruhan bagi kluster ini mencecah 55,273 kaki persegi, dan nilai anggaran hartanah ini berada sekitar RM70 juta hingga RM75 juta, dengan setiap rumah bernilai antara RM1.5 juta hingga RM2 juta, bergantung kepada saiz dan keadaan bangunan.
Namun, pemilik baru perlu bersedia menghadapi kos baik pulih yang agak tinggi – dianggarkan antara RM500 hingga RM1,000 untuk setiap kaki persegi, bergantung kepada tahap pemuliharaan yang diperlukan dan pematuhan terhadap pelan pemuliharaan khas George Town.