Siapa sangka sebuah papan dayung atau SUP board boleh bertukar menjadi kenderaan rasmi untuk ke tempat kerja?

Ketika ibu kota Bangkok berdepan fenomena banjir yang disifatkan oleh penduduk warga emas sebagai yang terburuk dalam tempoh 40 tahun, seorang pemuda membuktikan bahawa cuaca bukan penghalang untuk dia melunaskan tanggungjawabnya.

MISI BERMULA DARI BAN PA KE MASJID

'Rushing' Ke Majlis Nikah, Pemuda Ini Minta Izin Polis Langgar Lampu Merah Waktu Banjir Di Bangkok

Kisah ini bermula apabila pemuda tersebut perlu menggalas tugas sebagai pengacara majlis untuk sebuah majlis walimatulurus.

Memandangkan jalan raya utama terutamanya di sekitar Jalan Pattanakarn telah bertukar menjadi sungai jadian, dia mengambil keputusan berani untuk mendayung SUP board dari kawasan Ban Pa menghala ke Masjid Darul Islam.

Perjalanannya bukan mudah. Pada awalnya, dia terpaksa memikul papan tersebut dan berjalan kaki menyusuri tebing terusan kerana terdapat banyak jambatan kecil yang menghalang laluannya untuk terus mendayung di permukaan air.

CABARAN OMBAK KERETA DAN PENUMPANG TAK DIUNDANG

Sebaik sahaja dia tiba di kawasan yang membolehkannya mula mendayung, cabaran sebenar bermula. Saban kali kenderaan pacuan empat roda melintasi jalan yang ditenggelami air, ombak kuat akan terhasil seolah-olah dia sedang mendayung di tengah lautan bergelora.

'Rushing' Ke Majlis Nikah, Pemuda Ini Minta Izin Polis Langgar Lampu Merah Waktu Banjir Di Bangkok
Sumber Gambar: FB

Dalam kekalutan itu, perjalanannya diwarnai dengan pelbagai insiden melucukan.

Tanpa dirancang, pemuda ini berubah menjadi budak penghantar barang melalui jalan air.

Malah, ketika dia tiba berhampiran persimpangan Klong Tan, seorang wanita warga asing menyatakan hasrat untuk menumpang papan dayungnya.

Namun, percubaan itu gagal dan berakhir dengan tragedi kelakar apabila warga asing tersebut jatuh tersembam ke dalam air akibat hilang imbangan dirempuh ombak kereta yang lalu-lalang.

DIALOG LUCU DI LAMPU ISYARAT

Satu rakaman video yang tular turut memaparkan momen epik pemuda ini ketika dia tiba di persimpangan lampu isyarat yang digenangi air banjir separas paha.

Dalam keadaan bersahaja, berlaku perbualan singkat antara dia dan anggota polis yang bertugas.

“Boleh saya langgar lampu merah ni, tuan?” tanya pemuda yang sedang mengimbangi badan di atas papan dayungnya itu.

“Jalan terus, jalan terus. Hari ini saya bagi pelepasan untuk satu hari,” jawab anggota polis trafik tersebut dengan nada santai.

Kejadian ini membuktikan betapa tenang dan positifnya mentaliti rakyat negara jiran itu dalam mengendalikan situasi krisis. Sempat lagi mereka bergurau senda biarpun jalan raya sudah lumpuh.

AKHIRNYA MISI SELESAI DENGAN JAYANYA

Segala penat lelah, pakaian yang basah lencun dan kesukaran meredah arus jalanan berbayar apabila dia akhirnya selamat tiba di Pusat Islam Thailand.

Dia sempat menukar pakaian rapi dan menyempurnakan tugasnya sebagai pengacara majlis perkahwinan tersebut dengan cemerlang.

Biarpun perjalanannya penuh dengan rintangan, pemuda ini mencatatkan bahawa melihat senyuman orang ramai yang saling bantu-membantu di sepanjang jalan raya yang banjir sudah cukup untuk menghangatkan hatinya pada hari yang basah dan sejuk itu.

Kesungguhan luar biasa ini pastinya menjadi satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan olehnya dan juga pasangan pengantin.

Sumber