Baru-baru ini penganjur RXZ Members dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) telah bertemu untuk berbincang mengenai sesi libat urus acara tersebut.
Menerusi satu video pendek yang dimuat naik Facebook RXZ Members, rumusan daripada pertemuan kedua-dua pihak, acara tersebut itu akan dibuat sehingga ulang tahun ke-10 nanti.
Bagi memastikan program akan datang berjalan dengan lancar dan lebih baik, sesi libat urus akan diteruskan.
Antara cadangan lain yang diusulkan semasa pertemuan itu, pengumuman jadual waktu perjalanan (Time Travel Advisory) bagi kelancaran perjalanan para peserta ke RXZ Members.
“Kita akan ada sediakan satu jadual perjalanan untuk para peserta,” kata penganjur.
Pada masa sama penganjur turut membuat permintaan supaya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menutup seketika Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Tadi kita ada minta LLM, mungkin ada cadangan nak tutup LPT untuk laluan rider sekejap. Tapi itu antara penambahbaikan akan datang, kita akan cuba,” katanya lagi.
Terdahulu, JPJ telah mengarahkan penganjur perhimpunan RXZ Members mewujudkan platform pendaftaran dalam talian bersyarat bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan.
Antaranya adalah para peserta dikehendaki membuat pendaftaran bagi pengesahan lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM), serta insurans berkuat kuasa. Peserta juga wajib memuat naik empat keping gambar motosikal (pandangan depan, belakang, sisi kiri, dan kanan).