Kapten Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid sedia pamer aksi terbaik menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Meskipun mempunyai kelebihan 3 gol namun Safawi tekad menambah lebih banyak jaringanl untuk memastikan Terengganu layak ke final Piala FA.

Baca Juga:

“Saya tidak meletakkan kemenangan 3-2 mengatasi Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama tempoh hari kelebihan buat kami.

“Sebaliknya saya fikir aksi separuh akhir kedua bagaikan bermula dengan 0-0, ianya sebagai motivasi kepada saya untuk memperagakan aksi lebih baik begitu juga rakan sepasukan,” ujar Safawi Rasid dipetik dalam Berita Harian.

Safawi kini dalam prestasi terbaik apabila meledak gol menerusi sepakan percuma dalam dua perlawanan berturut-turut termasuk aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan minggu lepas.

Beliau juga berharap impiannya untuk membawa pasukan negeri kelahiran mara ke pentas final tercapai pada musim ini.

“Jika berpeluang, sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk menjaringkan gol, namun ia bukan menjadi keutamaan saya kerana apa yang lebih penting pasukan berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

“Pada masa sama saya mengharapkan rakan sepasukan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan biarpun beraksi di tempat lawan kerana hanya selangkah sahaja lagi untuk merealisasikan impian itu.

“Satu lagi jika aksi separuh akhir pertama stadium penuh dengan peminat setia TFC, aksi kedua nanti harap stadium MBPJ juga turut dibanjiri penyokong TFC sekali gus mampu menambah lagi semangat kami ketika beraksi,” katanya.