Hari ini rumah tangga yang dibina Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali Datuk Red dan Adira Suhaimi berakhir selepas mereka berdua sah bercerai talak satu.

Adnan, 46, melafazkan talak di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, di sini, pagi ini.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Bahawa saya Adnan Abu menceraikan Adira Suhaimi dengan talak satu,” lafaz Adnan.

Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar jam 9.39 pagi dan mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.

Memetik laporan Berita Harian, Adira yang ditemui selepas selesai menandatangani dokumen perceraian berkata, dia bersyukur doanya ketika menunaikan umrah dimakbulkan.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Saya bersyukur sebab akhirnya selesai. Saya banyak berdoa agar Allah lembutkan hati Adnan.

“Sejujurnya, saya memang banyak berdoa di Tanah Suci. Saya sangat bersyukur doa makbul,” katanya.

Adira menyatakan beliau berasa tenang sepanjang proses penceraian kerana tiada apa yang perlu digaduhkan. Pada masa sama bersyukur Adnan juga memberikan kerjasama.

Tambahnya lagi, beliau enggan meminta sebarang tuntutan nafkah kerana tidak mahu susahkan Datuk Red.

“Adnan bersetuju bercerai jika saya tak tuntut apa-apa. Tapi keputusan ini juga atas kehendak saya sendiri.

“Apa yang pasti, saya tidak mahukan apa-apa sebab tak nak susahkan lagi Adnan. Iyalah, dia pun tengah ‘down’.

“Kita doakan yang terbaik untuknya. Saya percaya kalau rezekinya murah, ada bahagian untuk anak-anak saya,” katanya.

Untuk rekod, Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman. Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Sementara perkahwinan dengan isteri pertama yang juga dikenali sebagai Datin Red mempunyai lima cahaya mata.

Sebelum itu, Adnan pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, Adnan dikurniakan dua cahaya mata dan secara keseluruhan mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan.