Saham berkaitan teknologi dan semikonduktor di Bursa Malaysia melonjak petang Rabu ini, dipacu oleh spekulasi Donald Trump berjaya menang dalam pilihan raya Presiden AS 2024 yang menewaskan Kamala Harris.
Merujuk laporan The Edge, FBM Technology Index, indeks yang mengesan 48 saham teknologi, mencatat lonjakan besar sebanyak 3.96%, atau 2.24 mata, mencapai 60.32 mata — kenaikan satu hari terbesar sejak 14 Julai 2023. Sementara itu, FBM KLCI turut mencatat kenaikan sebanyak 0.65%, atau 10.37 mata, kepada 1,631.07.
Sebagai rakan dagang ke-17 terbesar AS, Malaysia amat bergantung kepada pasaran eksport Amerika Syarikat, terutama dalam sektor semikonduktor dan teknologi.
Saham-saham teknologi utama yang mencatatkan keuntungan termasuk Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) yang naik 80 sen atau 3.13% kepada RM26.36, PIE Industrial Bhd (PIE) naik 42 sen atau 8.27% kepada RM5.08, Pentamaster Corp Bhd (PENTA) dengan lonjakan 30 sen atau 8.15% kepada RM3.98, dan Frontken Corp Bhd (FRONTKN) yang naik 29 sen atau 7.75% kepada RM4.03.
Genetec Technology Bhd (GENETEC), pengeluar sistem automasi industri, mencatatkan peningkatan luar biasa sebanyak 19 sen atau 27.54% kepada paras tertinggi dalam tiga bulan iaitu 88.5 sen, dengan 56.84 juta saham bertukar tangan.
JCY International Bhd (JCY), pengeluar komponen cakera keras pula melonjak 3.5 sen atau 8.86%, dengan harga saham kini pada 43 sen.
Untuk rekod, Fox News mengumumkan Donald Trump telah berjaya menang Pilihan raya Presiden selepas keputusan menunjukkan beliau berjaya menawan negeri-negeri utama seperti Pennsylvania, North Carolina, dan Georgia, sekaligus membuka laluan untuk kembali ke White House selepas empat tahun.
Di hadapan ribuan penyokong, Trump mengumumkan kemenangannya di Pusat Konvensyen Palm Beach County.
“Amerika telah memberikan kami mandat yang luar biasa dan berkuasa,” katanya sambil disambut sorakan dari para penyokongnya.
Bagi jutaan rakyat Amerika dan pemerhati di seluruh dunia, kemenangan ini adalah suatu kejutan besar memandangkan Trump tewas pada 2020 dan kini kembali sebagai pemimpin utama Amerika Syarikat.