Doktor yang bertanggungjawab menemukan virus Ebola telah memberi amaran mengenai virus baharu yang akan menyerang manusia di masa depan setelah seorang perawat menemui kes jangkitan luar biasa yang dikenali sebagai Penyakit X.
Jean-Jacques Muyember, profesor yang membantu mengenalpasti wabak Ebola pada tahun 1976 berkata kepada CNN bahawa manusia sedang menghadapi sejumlah wabak baharu yang tidak diketahui, “Ada virus baru dan berpotensi mematikan yang muncul di hutan hujan tropika di Afrika.”
Baginya, melihat kepada situasi semasa, Penyakit X mampu memberi kesan lebih buruk daripada COVID-19.
Ahli epidemiologi dari Universiti Griffith, Dr. Dicky Budiman menyatakan penyakit X adalah bentuk penamaan untuk penyakit yang tidak diketahui. Dia mengatakan X dalam bahasa Inggeris sering dikaitkan dengan sesuatu yang belum diketahui.
Dicky mengatakan bahawa penyakit X dianggap sebagai penyakit yang berpotensi menyebabkan pandemi, menyebabkan sejumlah besar kematian, dan mudah menular.
Penemuan
Penyakit X ini muncul setelah seorang pesakit wanita di Ingende, Congo, Afrika mengalami gejala seperti demam dan cirit-birit. Doktor yang memeriksa wanita itu pada mulanya menyangka pesakit itu menghidap demam denggi atau Ebola.
Bagaimanapun, hasil ujian menunjukkan bahawa pesakit tersebut negatif terhadap Ebola dan demam denggi. Pekerja kesihatan bimbang wanita itu menghidap Penyakit X.
Penyakit X ini dikatakan mempunyai infektiviti tinggi yang sama dengan COVID-19. Namun, ia mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi seperti Ebola, sekitar 50 hingga 90 peratus.
Sehingga kini, Institut Penyelidikan Bioperubatan Nasional Congo (INRB) telah menguji sampel pesakit terbabit untuk menentukan penyakit yang dialami olehnya. Walau bagaimanapun, hasilnya negatif dan penyakit ini masih belum diketahui.
“Kami mempunyai kes yang sangat serupa dengan Ebola, tetapi ketika kami melakukan ujian, hasilnya negatif,” kata Dr. Christian Bompalanga, ketua perkhidmatan perubatan di Ingende kepada CNN. “Kami harus melakukan pemeriksaan tambahan untuk melihat apa yang sebenarnya terjadi. Pada masa ini terdapat beberapa kes yang disyaki di sana.”
Pada masa ini, wanita dengan Penyakit X telah diasingkan daripada umum. Terdahulu, ketika Ebola pertama kali ditemui, ia telah membunuh 88 persen pesakit dan 80 peratus pekerja di Yambuku Mission Hospital. Ebola menyebabkan pendarahan pada penghidapnya.
Punca masalah
Muyember turut memberi amaran bahawa lebih banyak penyakit zoonosis yang akan menular dari haiwan ke manusia akan berlaku pada masa akan datang. Para pakar melihat situasi ini adalah disebabkan oleh kemusnahan habitat haiwan dan perdagangan haram hidupan liar di pasar gelap, termasuk penebangan hutan secara besar-besaran.
Akibatnya, terdapat ketidakseimbangan dalam ekosistem dan sistem rantai makanan rosak. Beberapa haiwan invasif berkembang biak secara lebih besar dan menyebarkan virus kepada manusia. SARS, MERS, dan COVID-19 adalah antara wabak yang berasal dari haiwan dan mungkin berasal dari kelawar.
Ahli epidemiologi dari Universiti Edinburgh, Mark Woolhouse, mengatakan dalam penyelidikannya bahawa spesies virus baru dijumpai setiap tiga hingga empat tahun, di mana sebahagian besar virus baru ini berasal dari haiwan. Haiwan yang dijual di pasar basah boleh menjadi ancaman serius dan Penyakit X mungkin hidup di salah satu haiwan di sana.
Terdahulu, seorang wanita di Singapura berjaya melahirkan seorang bayi dengan antibodi COVID-19. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Dijangkiti Wabak Semasa Hamil, Ibu Di Singapura Lahirkan Bayi Dengan Antibodi COVID-19
Kehadiran Ayam Import Dari Brazil Dengan Wabak COVID-19 Merisaukan Orang Ramai
G4 Dikesan Di China, Wabak Selsema Babi Jenis Baru Yang Berpotensi Jadi Pandemik