Siapa sangka sebuah batu yang sebelum ini tidak mempunyai apa-apa keistimewaan kini menjadi lokasi tumpuan pelancong hanya kerana pernah diduduki Mohamed Salah.

Batu yang terletak di kawasan tanah tinggi Trabzon, Turkiye itu kini dikenali sebagai ‘Salah’s Rock’ atau ‘Salahtaşı’ dalam bahasa tempatan selepas bintang Mesir tersebut berkunjung ke lokasi berkenaan dan berkongsi gambarnya di media sosial.

Sejak gambar itu tular, peminat bola sepak khususnya penyokong Trabzonspor mula berkunjung ke lokasi berkenaan untuk merasai pengalaman duduk di atas batu yang sama pernah diduduki Salah.

Fenomena tersebut menunjukkan betapa besar pengaruh Salah di Turkiye sejak menyertai saingan Süper Lig. Apa yang pada asalnya hanyalah sebahagian daripada pemandangan semula jadi di kawasan tanah tinggi kini berubah menjadi satu lokasi yang mempunyai nilai sentimental buat peminat bola sepak.

Pengaruh Salah di kawasan berkenaan turut dapat dilihat menerusi tindakan Datuk Bandar Yomra, Mustafa Biyik yang mengumumkan bahawa jalan di kawasan kejiranan tempat Salah menetap bersama keluarganya kini dinamakan Jalan Mohamed Salah.

Langkah itu dibuat sebagai tanda penghargaan serta menjadi sebahagian daripada sejarah kawasan tersebut selepas kehadiran superstar Mesir berkenaan.

Nampaknya, Mohamed Salah bukan sahaja memberikan impak yang kuat di atas padang, malah di luar padang pun sama hebat kesan pengaruh pemain itu.