Seluruh Amerika kini sedang marah. Namun, kemarahan ini bukan berpunca daripada isu politik biasa, sebaliknya gara-gara tindakan biadab seorang pelancong yang merasakan dirinya terlalu istimewa sehingga berani mencari hal dengan haiwan kesayangan penduduk tempatan Hawaii iaitu seekor anjing laut yang dikenali sebagai “Lani”.
Pelancong yang dilaporkan berasal dari Seattle itu dengan sengaja telah mengganggu ketenangan dan keindahan di Lahaina, Maui apabila dia bertindak membaling batu ke arah Lani.
Keangkuhan Membawa Padah
Kejadian tersebut sempat dirakam oleh seorang saksi, Kaylee Ku’ukamaleimakamae Schnitzer, yang turut bersemuka dengan lelaki berkenaan. Namun, teguran Kaylee langsung tidak diendahkan. Dengan angkuhnya, lelaki itu menjawab:
“Saya tak kisah, samanlah saya, saya kaya.”
Kenyataan bongkak itu dilontarkan sebelum dia berlalu pergi dengan bersahaja, menurut temubual Kaylee bersama saluran berita tempatan, KHON2.
Video tersebut dengan pantas tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan luar biasa dalam kalangan penduduk tempatan yang mula menjejaki pelaku tersebut.
@nbcphiladelphia A tourist was filmed throwing a rock at a Hawaiian monk seal on a beach in Lahaina, Hawaii. The act sparked an investigation and public outrage. Environmental authorities in Maui identified the man as a 37-year-old tourist from Seattle. The man was questioned and released.
Lani: Lebih Daripada Sekadar Haiwan, Simbol Harapan Lahaina
Lelaki itu jelas telah mencari masalah dengan anjing laut yang salah. Lani bukan sahaja sebahagian daripada keindahan semula jadi di sana, tetapi haiwan ini telah menjadi simbol kebangkitan dan semangat pemulihan komuniti tersebut susulan tragedi kebakaran hutan dahsyat yang pernah memusnahkan Lahaina.
Malah, spesies anjing laut sami Hawaii (*Hawaiian monk seal*) merupakan salah satu mamalia marin yang paling terancam di dunia, dengan populasi yang dianggarkan berbaki sekitar 1,400 ekor sahaja.
‘Karma’ Segera Dari Penduduk Tempatan
Tindakan biadab “Encik Seattle” itu nampaknya dibalas dengan pantas. Dalam satu rakaman video berasingan yang tular, lelaki tersebut dilihat diserang dan ditumbuk bertubi-tubi di bahagian kepala serta badan oleh seorang penduduk tempatan yang hilang sabar dengan tindakannya.
Susulan insiden tersebut, pihak polis Maui telah memaklumkan kes gangguan haiwan terancam ini kepada pihak berkuasa alam sekitar Hawaii untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan pantas pasukan penguatkuasa, seorang lelaki berusia 37 tahun dari Seattle yang menepati ciri-ciri suspek telah pun ditahan. Walau bagaimanapun, penahanan tersebut masih di peringkat awal dan belum ada sebarang pertuduhan jenayah rasmi difailkan ke atasnya buat masa ini.
Amaran Keras Pihak Berkuasa: “Kami Ada Di Belakangmu, Lani”
Datuk Bandar Maui, Richard Bissen, menzahirkan rasa terkejut dan marahnya terhadap insiden tersebut. Bagi beliau, menjaga Lani adalah satu tanggungjawab moral komuniti.
“Banyak pihak telah mendengar tentang insiden yang mengganggu rakan kita, Lani. Lani bukan sekadar anjing laut bagi kami, dia adalah sebahagian daripada ‘Ohana’ (keluarga) lautan kami di Lahaina. Ramai penduduk kita mengenalinya, memerhatikannya, dan sangat menyayanginya.”
Beliau turut menambah dengan tegas: “Biar saya jelaskan, ini bukanlah jenis pelancong yang kami alu-alukan di Maui. Kelakuan seperti ini tidak akan ditoleransi… Pasti ada akibatnya. Lani, kami ada di belakangmu.”
Datuk Bandar itu berikrar akan memastikan penyerang tersebut didakwa sekeras-kerasnya di sisi undang-undang, sama ada di peringkat daerah, negeri, mahupun persekutuan.
Sementara itu, Senator Brenton Awa secara sinis meraikan tindakan individu tempatan yang ‘mengajar’ pelancong tersebut.
“Sesetengah daripada kita telah melihat seorang ‘aktivis alam sekitar’ seperti yang saya suka panggil yang mengambil tindakan sendiri untuk mendidik apa yang mungkin berlaku jika anda mengganggu tanah atau haiwan kami.
“Peguam kami di sini ingin menjelaskan bahawa kami tidak menyokong keganasan, tetapi kami telah menyediakan surat pengiktirafan untuk ‘Encik Duta Aloha’ ini,” selorohnya.
Hukuman Undang-Undang Yang Berat Menanti
Di bawah Akta Spesies Terancam Persekutuan AS, Akta Perlindungan Mamalia Marin, serta undang-undang negeri, anjing laut sami Hawaii dilindungi sepenuhnya.
Sebarang perbuatan mengganggu, memberi makan, atau mencederakan haiwan ini adalah satu kesalahan jenayah besar. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh berdepan dengan:
Denda maksimum sehingga $50,000 USD (sekitar RM236,000).
Hukuman penalti jenayah yang berat (sebagai rujukan, pada tahun 2017, seorang lelaki telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun kerana memukul seekor anjing laut spesies ini menggunakan tangannya).