Sudah masuk tahun 2025, taraf gaji untuk graduan universiti masih di takuk lama yang mana sangat membimbangkan banyak pihak.
Menurut Berita Harian, lebih 65%siswazah di Malaysia dapat gaji bulanan kurang dari RM3,000. Ini bermakna pendapatan mereka cuma cukup-cukup makan sekaligus sukar nak menyimpan, melabur, malah ubah taraf hidup jadi lebih baik.

Selain itu, lebih 70 peratus siswazah di negara ini didapati terpaksa bekerja dalam sektor yang tidak memerlukan kelayakan tinggi atau kemahiran khusus.
Maklumat ini diperoleh daripada kajian yang dijalankan oleh Malaysia Labour Market Insight Series, yang bertajuk ‘The ‘Gaji Cukup Makan’ Economy: When Higher Education Becomes an Economic Risk’.

Penulis laporan tersebut, Dr Mohd Yusof Saari, menyatakan bahawa laporan itu mendedahkan model pekerjaan graduan di Malaysia kini berdepan masalah struktur yang serius, di mana pendidikan tinggi tidak lagi menjamin pendapatan yang baik.
“Ia juga membongkar realiti bahawa meskipun kadar kebolehpasaran siswazah sering dilaporkan melebihi 80 peratus, laporan ini menegaskan bahawa angka terbabit boleh mengelirukan kerana ia merangkumi semua bentuk pekerjaan, tanpa mengambil kira padanan kemahiran atau tahap upah.
“Hakikatnya lebih 65 peratus pemegang ijazah di negara ini memperoleh gaji bulanan di bawah RM3,000,” katanya melalui kenyataan baru-baru ini.
Isu tak dapat kerja selari dengan kelayakan
Pada masa yang sama, Mohd Yusof menjelaskan bahawa ramai graduan tidak dapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan akademik mereka. Ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam pendidikan tinggi kini tidak lagi memberi pulangan yang setimpal.
Walaupun masalah graduan tidak dapat pekerjaan yang sesuai ini turut berlaku di negara maju, keadaan di Malaysia lebih teruk disebabkan tahap gaji yang rendah.
“Ia sekali gus tidak memberi ruang perlindungan kepada mereka yang terbabit dalam pekerjaan di bawah kelayakan.
“Ini menyebabkan ketidakpadanan di Malaysia memberi kesan ekonomi yang lebih mendalam, mengehadkan mobiliti sosial dan mengurangkan minat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Dalam keadaan sekarang, keputusan untuk sambung belajar semakin berisiko dari segi kewangan. Ini terutama sekali untuk anak muda yang terpaksa tanggung kos pendidikan yang makin tinggi, sedangkan gaji yang dapat nanti tak setimpal.
Menurut beliau, jurang yang makin besar antara kelayakan, jenis pekerjaan dan ganjaran gaji ini telah mencabar kepercayaan lama bahawa pendidikan adalah cara untuk meningkatkan taraf hidup seseorang.
“Laporan ini mengenal pasti punca utama kepada krisis ini, antaranya pertumbuhan gaji yang perlahan, kelemahan dalam penyediaan pra-pekerjaan, dan permintaan kemahiran yang lemah dari sektor swasta.
“Faktor terbabit mewujudkan trajektori gaji yang mendatar dan tertangguh, di mana siswazah gagal membezakan diri mereka dari segi pendapatan berbanding bukan siswazah terutama pada fasa awal kerjaya,” katanya.
Untuk pengetahuan anda, laporan ‘The ‘Gaji Cukup Makan’ Economy: When Higher Education Becomes an Economic Risk’ ini adalah laporan penting yang dihasilkan oleh Pusat Kajian Masa Depan Pasaran Buruh (EU-ERA) di bawah Future Studies Berhad (THE FUTURE).