Lebuh Raya Bukit Kukus baharu sahaja dibuka kepada orang ramai hampir dua bulan, namun masalah air bertakung sehingga menyebabkan ‘banjir’ berlaku di sebahagian lebuh raya tertinggi di negara ini.
Insiden tersebut mula diperkatakan oleh orang ramai apabila tular satu rakaman video dikongsikan oleh salah seorang pengguna terpaksa meredah lebuh raya tersebut yang ditenggelami air pada hari Sabtu lalu.
Menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pusat Intelligent Operations Centre MBPP melaporkan bahawa insiden tersebut berlaku pada jam 6.30 petang Sabtu lalu dan ianya berpunca hujan lebat yang berlaku ketika waktu itu
Pada masa sama, hasil siasatan lanjut mendapati terdapat sampah-sarap ditinggalkan oleh orang ramai yang berhenti untuk bergambar di atas lebuh raya itu dan daun-daun kering telah menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna.
Tambah MBPP lagi, kerja pembersihan dengan mengeluarkan sampah-sarap dan daun kering yang menyebabkan sistem perparitan tersumbat telah dilaksanakan segera. Laluan tersebut kembali sempurna dan selamat digunakan semula oleh orang awam.
Walaupun orang ramai sedia maklum pembuangan sampah sewenang-wenangnya merupakan salah satu punca utama menyebabkan air bertakung lalu boleh berlakunya banjir, namun masih ada ramai lagi yang berdegil sehingga menyusahkan ramai pihak di kemudian hari kelak.
Diharapkan agar semua orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata tidak kira di mana jua anda berada.
Klik pautan di bawah untuk baca luahan orang ramai apabila melihat sampah-sarap mula memenuhi kawasan lebuh raya tersebut.
‘Baru Buka Dua Minggu Sudah Kotor’ – Lebuh Raya Bukit Kukus Kini Dicemari Sampah
Bahayakan Pengguna Lain, PBT Halau Orang Ramai Berhenti Bergambar Di Lebuh Raya Bukit Kukus