Umum mengetahui bahawa jenama Bubble Bee merupakan syarikat yang diusahakan oleh pelawak, Shuib diasaskan pada tahun 2019 dan kini jenama tersebut kian berkembang pesat.

Akan tetapi, seorang individu yang tidak diketahui identitinya mendakwa syarikat Bubble Bee itu telah culas menjalankan tanggungjawab sebagai majikan untuk mencarum menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu surat terbuka di TikTok.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menerusi surat terbuka tersebut, syarikat Bubble Bee didakwa menolak bahagian gaji pekerja bagi caruman KWSP setiap bulan tetapi tiada transaksi yang berlaku pada akaun para pekerja.

“Sampai bila ya tak nak bayar KWSP pekerja? Setiap bulan dalam slip gaji untuk EPF ditolak sedangkan dalam I-Akaun KWSP tiada transaksi kemasukan duit dibuat. Ke manakah duit yang hilang hasil daripada penolakan EPF di dalam setiap slip gaji pekerja tu?

“Pekerja bukan seorang dua tapi beratus. Benda ini menjadi tanda tanya semua orang yang bekerja di bawah syarikat anda. Masuk sahaja tahun 2023 tiada sebarang pembayaran KWSP dibuat. Kalau ada pun hanya satu bulan atau pun dua bulan sahaja, itu pun sekadar mengaburi mata pihak yang lain.

“Sekarang ini dah hampir ke penghujung tahun, ke manakah bayaran bulan bulan yang selebihnya itu ya? Sejak tahun 2021 sehingga 2022 tiada sebarang isu mengenai pembayaran KWSP ni tapi masuk je 2023 hal ini menjadi semakin melampaui batas,” tulis individu tersebut.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga dikatakan kerap lewat membayar gaji pekerja, sehinggakan melebihi hari ketujuh minggu pertama bulan berikutnya.

Tambahnya, aduan ke KWSP dan Buruh sudah dibuat, tetapi pihak berkenaan masih senyap serta setiap soalan yang diajukan tentang gaji dan KWSP di media sosial pihak berkenaan akan dipadam atau disekat.

Individu terbabit berharap hal ini dapat diselesaikan segera dan berharap ada keadilan untuk semua pekerja. Menjengah ke media sosial Shuib, saat ini belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung dakwaan yang timbul ini.