Pasukan kebangsaan San Marino mencipta sejarah dimana mereka mencatat kemenangan buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun dalam saingan UEFA Nations League baru-baru ini.

Pasukan yang menghuni tangga terbawah dalam ranking FIFA itu sebelum ini hanya memenangi satu perlawanan dalam sejarah mereka, kemenangan 1-0 ke atas lawan yang sama pada 2004, tetapi mereka mencatat sejarah baharu pada malam Rabu selepas Nicko Sensoli menjaringkan gol untuk menewaskan lawan mereka yang berada di ranking ke-199.

Baca Juga:

Ia adalah kali pertama mereka mencatatkan kemenangan dalam perlawanan kompetitif, dengan kemenangan sebelumnya ketika menentang Liechtenstein datang dari perlawanan persahabatan.

Sensoli, pemain tengah berusia 19 tahun yang bermain untuk Sangiuliano dalam liga separuh profesional di peringkat keempat bola sepak Itali, menjaringkan gol pada minit ke-53 dengan percubaan pertama San Marino yang menepati sasaran dalam perlawanan itu.

Dia memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan lawan iaitu Sandro Wieser untuk menolak masuk bola ke dalam gawang yang dikawal oleh penjaga gol, Benjamin Buchel dan mencetuskan pesta di kalangan penyokong yang hadir di Stadio Olimpico.

Walaupun berdepan lapan minit masa tambahan dan beberapa yang asakan yang dilancarkan oleh pihak lawan, gol itu sudah cukup untuk menamatkan kemarau tanpa kemenangan yang menjangkau 140 perlawanan.

San Marino merupakan sebuah negara yang terkurung daratan dengan lebih 30,000 orang penduduk yang dikelilingi oleh timur laut Itali dan meliputi hanya 61 kilometer persegi. Mereka sering menjadi contoh kesengsaraan dalam bola sepak kerana perjuangan pasukan mereka untuk menamatkan rentak tanpa kemenangan yang mengambil masa 20 tahun.

Pasukan Eritrea, yang tidak bermain dalam sebarang perlawanan sejak 2020, secara tidak rasmi tidak disenaraikan oleh FIFA, San Marino telah menduduki tangga tercorot dunia sejak November 2023.