Tindakan licik dua orang wanita yang cuba menyeludup sebuah keluarga warga Sri Lanka ke Kazakhstan menggunakan pasport Malaysia akhirnya tumpas di Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok.

Kegiatan tersebut berjaya dihidu oleh pegawai imigresen Thailand yang memperketatkan pemeriksaan selepas menerima maklumat tentang taktik penyamaran oleh sindiket jenayah terancang antarabangsa.

Gagal di Suvarnabhumi, sanggup pusing jauh lari ke Myanmar

Sanggup Menyamar Guna Pasport Malaysia, Keluarga Sri Lanka Kantoi Kena Cekup Di Thailand
Sumber Gambar: khaosod online

Keluarga tersebut terdiri daripada seorang ibu bernama Anusa bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 14 dan 5 tahun. Perjalanan mereka bermula apabila memasuki Thailand menggunakan pasport Sri Lanka sebelum bergerak ke Malaysia.

Seterusnya, mereka cuba terbang ke Kazakhstan melalui Lapangan Terbang Suvarnabhumi dengan ditemani seorang wanita warga Malaysia bernama Liviya, yang mendakwa dirinya sebagai ibu kepada dua beradik itu.

Bagaimanapun, kakitangan syarikat penerbangan yang menyedari kelainan pada dokumen mereka telah menghalang kumpulan ini daripada menaiki pesawat, menyebabkan mereka menukar pelan dengan melarikan diri ke Myanmar.

Taktik penyamaran kantoi, dua beradik pegang dokumen berbeza

Perjalanan mereka akhirnya terhenti sepenuhnya pada 17 Jun apabila kumpulan ini cuba menaiki penerbangan dari Yangon ke Kazakhstan menerusi transit di Lapangan Terbang Don Mueang.

Hasil pemeriksaan rapi pihak berkuasa mendedahkan bahawa Anusa dan anak sulungnya menggunakan pasport Malaysia milik orang lain secara haram. Apa yang mengejutkan, anak bongsunya pula didapati memegang pasport Malaysia yang tulen.

Modus operandi kotor beli identiti kanak-kanak Malaysia

Berdasarkan maklumat risikan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, kes ini membongkar taktik kotor sindiket jenayah rentas sempadan.

Rangkaian ini bertindak mencari kanak-kanak warga Sri Lanka untuk didaftarkan bagi mendapatkan sijil kelahiran Malaysia yang sah. Sijil tersebut kemudiannya digunakan untuk memohon pasport tulen demi membolehkan mereka menyelusup masuk ke negara-negara Eropah dengan lebih mudah.

Nasib dua beradik dan tindakan lanjut imigresen

Susulan penahanan itu, Anusa dan Liviya kini berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan berkaitan dokumen perjalanan.

Sementara itu, kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah disahkan bukan mangsa pemerdagangan manusia dan kini diletakkan di bawah proses perlindungan, sementara pihak berkuasa menguruskan proses penghantaran pulang bersama Kedutaan Sri Lanka.

Pihak imigresen menegaskan bahawa rangkaian pemalsuan pasport kini bergerak secara skala besar melibatkan banyak negara transit, sekali gus menuntut kawalan yang lebih ketat di semua pintu masuk antarabangsa.