Agama kita selalu mengingatkan kita agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Sang Pencipta. Terkadang mungkin antara kita yang pernah mengeluh akan nasib yang dihadapi sehingga terlupa ada insan yang lebih susah daripada kita.
“Terkejut saya, dari Temerloh ke Kuala Terengganu naik motorsikal. Dengan anak-anak lagi, bayi lagi, tak terbayang lenguh tangan mak (isteri) dia dukung bayi atas motorsikal”.
Berikut luahan seorang individu yang terserempak dengan lima beranak berkongsi sebuah motosikal dalam cuaca panas dan hujan meredah perjalanan lebih 300 kilometer.
Pemilik Facebook, Syahmi Sarif, memaklumkan, kisah itu berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sewaktu dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari Ajil ke Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, Terengganu.
“Selama saya lalu lebuh raya ulang-alik Ajil ke AMBS setiap hari, banyak kali dah tengok motor rosak, kereta rosak.
“Tetapi ini pertama kali saya jumpa orang bawa motor lima beranak dengan bayi lagi. Saya berhenti tanya, dari mana, dia beritahu dari Temerloh, Pahang datang Terengganu sebab nak pergi tempat kerja,” kongsinya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Syahmi memaklumkan beliau turut mempelawa pasangan tersebut untuk menumpangkan dua anak mereka menaiki motosikal bersamanya kerana tidak sampai hati melihat keadaan lima beranak itu.
Bagaimanapun katanya, pasangan tersebut menolak pelawaannya dan mahu meneruskan perjalanan sendiri.
“Saya kejar lepas itu berhenti pula di depan dia. Tanya dia okey tak? Tawar sekali lagi nak tolong bawa anak dia.
“Sekali lagi dia senyum sambil kata ‘tak apa bang’. Kemudian mereka terus berlalu dalam cuaca tengah hujan lagi, dengan lori-lori besar lalu buat saya tak sedap duduk.
“Saya ikut motor mereka dari belakang takut jadi apa-apa. Sambil ikut itu, teringat pula macam mana susah payah mak ayah saya jaga saya dahulu,” kongsinya.
Tambahnya, pengalaman tersebut memang tidak dapat dilupakan dan Syahmi meminta pengikut Facebooknya mendoakan kesejahteraan keluarga terbabit agar urusan mereka sekeluarga dipermudahkan.
“Saya doakan anak-anak abang motor ni jadi anak soleh solehah, jaga mak ayah elok-elok apabila besar nanti.
“Hantaran ini sebab mahu mohon anda semua doakan keluarga abang ini semoga dipermudahkan urusan,” ujarnya di penghujung hantaran.
Hantaran itu telah meraih perhatian netizen yang mana turut bersimpati dan merasa sebak akan dugaan yang dihadapi oleh keluarga tersebut.
“Allahuakbar… ngalir juga air mata.. ingat ak susah dah… ada orang lebih susah…”, luahan seorang pengguna FB di hantaran itu.
“Allah tak boleh bayang lenguh habis belakang naik motor jauh dengan dungkung anak lagi,” ujar salah satu komentar yang ditinggalkan menerusinya.
“Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki buat semua,” ujar seorang pengguna lain yang turut mendoakan dimudahkan urusan dan dilimpahkan rezeki kepada semua.
Tidak lupa juga, sebahagian komentar yang mendoakan agar dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki untuk menyara sekeluarga.