Sudah biasa kita mendengar bahawa bulan Ramadan merupakan untuk para peniaga makanan meraih untung besar. Namun, tahun ini sedikit berbeza apabila peniaga mula merungut kerana kurangnya sambutan daripada orang ramai.

Menurut seorang peniaga di bazar Ramadan Bandar Utama Segamat, Johor dikenali sebagai Era Rauqhah, dia melihat sendiri ramai usahawan yang mengalami kerugian pada tahun ini.

realiti jualan bazar ramadan
Sumber Gambar: Neuroversiti

“Dua tahun aku berniaga di bazar, apa yang dapat aku perhatikan tak semua orang yang berniaga di bazar Ramadan akan untung beratus ribu. Ramai yang perniagannya dan tidak balik modal langsung.

“Lebih-lebih lagi tahun ini, peniaga yang meniaga di sebelah aku semuanya dah cuti dua tiga hari sebab tiada untung apabila berniaga,” kongsinya dalam perkongsian di Facebook baru-baru ini.

Melalui perkongsian itu juga, wanita berkenaan berkata dia turut berdepan situasi sama iaitu sukar untuk menjana pendapatan seharian.

“Aku sendiri nak dapatkan RM100 sehari pun susah. Jangan kata nak dapat balik duit (sewa) tapak, duit modal air setiap hari pun belum tentu dapat,” rintih wanita itu lagi.

Difahamkan juga dek kerana hasil jualan yang kurang baik, dia masih belum mampu untuk melunaskan gaji para pekerjaannya.

Namun menurut wanita itu lagi, semangatnya untuk berniaga masih belum luntur dan dia akan terus berjuang mencari rezeki selagi terdaya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Aku tak patah semangat. Aku masih meneruskan perjuangan. Jadi, orang luar sana janganlah cakap kami ini banyak untung, minta open table la.

“Kami hanya minta sahabat-sahabat untuk mendoakan sahaja agar perniagaan kami akan lebih untung dari hari sebelumnya,” kongsinya lagi.

Ternyata luahan Era turut dirasai peniaga lain apabila mereka turut meluahkan cabaran masing-masing ketika berniaga di bazar Ramadan pada tahun ini.

“Betul kak niaga zaman ini memang perit sakit… ramai giveup sebab tak balik modal.. semoga semua peniaga-peniaga dipermudahkan segala urusan,” luah seorang peniaga di hantaran tersebut.

“Serius tahun ini amat mencabar, sampai ke hari ini saya masih belum mendapat sebarang untung. Mungkin sebab ada peniaga yang menjadi bidan terjun menyebabkan ada penjual lain yang turut terkesan,” kongsi seorang netizen berhubung kewujudan peniaga jadian yang memberi kesan terhadap orang lain.

“Sebab itulah saya berhenti berniaga, sekarang saya bekerja di kilang. Alhamdulillah murah rezeki saya,” kata seorang bekas peniaga yang bersyukur rezekinya bertambah baik selepas berhenti bisnes.

Memang tidak dinafikan, selain orang ramai mula berjimat kerana situasi ekonomi yang tidak menentu, ada juga berpendapat juadah di bazar Ramadan hanya indah khabar dari rupa. Buat para peniaga, kami mendoakan agar semua boleh mengharungi bulan Ramadan dengan jayanya.