Gegak gempita di Sarawak apabila kerajaan negerinya bertindak tegas menghantar surat tuntutan kepada gergasi minyak dan gas negara, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB)! Tindakan drastik ini diambil berikutan dakwaan PCSB telah melakukan pelanggaran atau tidak mematuhi Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Memetik daripada portal Utusan Online, Pelanggaran tersebut melibatkan operasi sebuah kilang milik PCSB di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT) yang terletak di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Miri, Sarawak.

Sarawak
Sumber Gambar: Borneo Post Online

Kerajaan negeri, melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, mendakwa bahawa loji tersebut beroperasi secara tidak sah atau tanpa permit yang sah di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Berdasarkan surat daripada kementerian tersebut yang diteliti oleh Utusan Malaysia, Seksyen 7(e) menerangkan aktiviti pembinaan, pengurusan, atau penyelenggaraan saluran paip gas atau peralatan, kelengkapan, atau mekanisme lain yang bertujuan untuk pengagihan gas. Dalam konteks ini, gas yang dimaksudkan adalah gas asli (NG).

“Sehubungan dengan perkara di atas, syarikat anda adalah dengan itu telah melanggar Seksyen 7(e) di bawah Ordinan tersebut,” kata surat berkenaan.

Perkembangan terbaharu ini semakin merumitkan lagi hubungan antara Sarawak dengan Petronas, terutama selepas kerajaan negeri semakin giat berusaha untuk menjadi satu-satunya pihak yang mengumpulkan dan mengedarkan gas di seluruh negeri itu.

Kerajaan negeri turut memberikan tempoh 21 hari bermula dari tarikh surat tersebut, iaitu 30 April 2025, kepada Petronas Carigali untuk mendapatkan lesen yang diperlukan atau berisiko dikenakan denda kewangan.

“Sila ambil perhatian sekiranya anda meneruskan akti­viti yang dinyatakan di atas di loji tersebut tanpa memperoleh lesen yang dikehendaki di bawah Seksyen 7(e) dalam tempoh 21 hari dari tarikh surat ini, penalti kewangan akan dikenakan ke atas anda di bawah Seksyen 21A Ordinan Pengagihan Gas 2016,” tulis surat itu.

Dalam surat yang sama turut dinyatakan bahawa Petronas Carigali boleh menghubungi pegawai yang telah ditetapkan sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan isu ini. Sejajar dengan cita-citanya untuk memperkuat pengawalan sumber dayanya, Sarawak telah menubuhkan syarikat minyaknya sendiri, Petros, pada tahun 2017.

Petronas pula ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) sebagai sebahagian daripada inisiatif Malaysia untuk memperkuat penguasaan terhadap sumber minyak dan gas negara.

Namun begitu, dalam tempoh setahun kebelakangan ini, Sarawak semakin mendesak agar Petronas memeterai perjanjian yang akan menjadikan Petros sebagai satu-satunya pihak yang mengumpulkan dan mengedarkan gas di negeri tersebut.

Perselisihan ini berterusan apabila Petros memfailkan saman berkaitan tuntutan pembayaran bekalan gas asli, dan percubaan Petronas untuk menghentikan prosiding saman tersebut tidak berhasil.

Meskipun demikian, kedua-dua pihak terus mengusahakan pencapaian kata sepakat, namun hingga kini masih belum ada perkembangan positif yang dicatatkan.

Pada 18 April yang lalu, seorang bekas pengurus Petronas telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan percubaan untuk membocorkan dokumen rahsia berkaitan operasi dan kewangan Petronas kepada Petros pada bulan Jun tahun sebelumnya.

Setakat ini, pihak Petronas masih belum memberi respons terhadap isu tersebut.