Sarawak melakar sejarah baharu dalam arena kebudayaan dan pelancongan serantau apabila dipilih sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara bagi menganjurkan pameran antarabangsa berprestij, Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality.

Pameran bertaraf dunia yang dijadualkan berlangsung selama enam bulan bermula Julai 2027 itu bakal diadakan di Borneo Cultures Museum (BCM), petik TV Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pameran berkenaan bakal menampilkan sebanyak 110 artifak bernilai tinggi daripada koleksi National Archaeological Museum of Florence, Itali. Ini termasuk tinggalan manusia sebenar yang dipercayai berusia lebih 5,000 tahun.

Menurut beliau, penganjuran pameran berprestij itu bukan sahaja membuktikan keupayaan Jabatan Muzium Sarawak dalam menjalin kerjasama peringkat antarabangsa, malah menjadi tarikan baharu yang unik buat pengunjung tempatan dan luar negara.

“Pameran ini akan berlangsung di Borneo Cultures Museum (BCM), dengan persiapan dan perancangan kini berjalan lancar.

“Ia berlangsung selama enam bulan kerana proses membawa masuk artifak seperti ini bukan mudah dan memerlukan perancangan teliti,”  katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19,  baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim menjelaskan bahawa logistik bagi menjayakan pameran tersebut melibatkan cabaran teknikal dan kos yang besar.

Selain keperluan insurans dan kos pengangkutan yang tinggi, aspek kawalan persekitaran seperti penyimpanan pada suhu khas amat kritikal bagi memastikan pemeliharaan mumia dan artifak purba berada dalam keadaan optimum.

Dalam pada itu, penganjuran pameran tersebut turut dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri, terutamanya dalam merancakkan kehadiran pelawat sempena penganjuran Sukan SEA kelak.

“Pameran ini dijangka menjadi tarikan pelancongan tambahan kepada Sarawak khususnya menjelang penganjuran Sukan SEA, selain memberi peluang kepada orang ramai mendalami sejarah tamadun Mesir purba,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, Jabatan Muzium Sarawak akan terus komited meneroka jaringan kerjasama baharu bersama muzium-muzium terkemuka dari pelbagai negara bagi membawa lebih banyak pameran bertaraf antarabangsa ke Sarawak pada masa hadapan.

Sumber