Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata Kajian Profil Membaca telah merekodkan peningkatan ketara dalam kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia, petik Free Malaysia Today.
“Pada tahun 2005, purata rakyat hanya membaca dua buku setahun. Sepuluh tahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada 15 buku, dan pada tahun 2023 ia sekali lagi meningkat kepada 24 buku setahun,” katanya.
Baca Juga:
- ‘Anda Sudah Lukakan Perasaan Mak Saya, Warganet Malaysia’ – Apa Sudah Jadi?

- Rakyat Malaysia Disyaki Serah MyKad Kepada Penyeludup, Raih Keuntungan Jual RON95 Bersubsidi Di Thailand

- Berita Kontroversi 7 Pemain Warisan Malaysia Disorot Salah Satu Portal Bola Sepak Paling Berpengaruh Di Dunia

“Daripada jumlah itu, purata sebanyak 16 buku dibaca dalam bentuk fizikal manakala lapan buku lagi dibaca secara dalam talian,” katanya.
Aaron berkata, kajian terbaharu itu menunjukkan bahawa 88.6% rakyat Malaysia kini merupakan pembaca aktif.
“Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan keberkesanan dasar serta inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ilmu di negara ini,” katanya.
Ada 1 juta bahan bacaan online percuma untuk rakyat Malaysia
Sementara itu, Aaron dalam satu kenyataan berkata, platform digital sehenti u-Pustaka di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kini menawarkan lebih daripada satu juta bahan bacaan dalam talian secara percuma kepada orang ramai.
Usaha ini bertujuan memastikan bahan bacaan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Aaron berkata, melalui inisiatif tersebut, orang ramai boleh mengakses pelbagai bahan digital termasuk e-buku, e-majalah, e-akhbar, buku audio, pembelajaran digital (e-learning) dan jurnal elektronik (e-journal) pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Setakat ini, u-Pustaka telah merekodkan 2,985,170 entri bibliografik dengan 1,014,356 judul koleksi digital, selain menyediakan 22 pangkalan data digital untuk kegunaan awam.
“Antara pangkalan data yang disediakan termasuk Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru.
“Ini menjadikan u-Pustaka sebagai sebuah gedung ilmu maya yang menyeluruh, inklusif dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya.