BUDI95 (Subsidi RON95 Bersasar) ini merupakan adalah inisiatif yang dikhaskan untuk pengguna petrol RON95. Melalui sistem ini, warganegara yang layak dapat menikmati pembelian minyak RON95 pada harga subsidi (RM1.99 seliter) di stesen-stesen minyak.

Bagaimanapun, baru-baru ini seorang wanita yang dipercayai berasal dari Indonesia merintih tentang kesusahan yang dialaminya untuk menanggung kos minyak pada harga yang lebih mahal meskipun bergelar isteri kepada warganegara Malaysia.

Video memaparkan rintihan seorang wanita di TikTok yang menangis sambil membuat rayuan kepada pihak kerajaan telah berjaya meraih tumpuan seluruh rakyat Malaysia.

“Salam Kerajaan Malaysia. Tolonglah kasihani kami. Kami isteri-isteri kepada warganegara Malaysia. Kami legal. Kami ada visa spouse tapi tak diakui waktu isi minyak, tetap saja dicaj RM4.20.

“Kenapa bezanya begitu tinggi. Kalau ada kad pengenalan, minyak RM1.99. Tolonglah jangan macam ini. Kami isteri bekerja. Suami sudah pencen atau ada kawan saya suami tak dapat bekerja kerana kemalangan.

“Dan kami juga perlu menanggung biaya minyak untuk guna setiap hari untuk bekerja. Tolonglah Kerajaan Malaysia. Sesuatu yang mudah jangan dibuat sulit. Sekurang-kurangnya, bolehkan visa spouse digunakan untuk isi minyak,” luahnya dalam video.

Semakan terkini kami mendapati video asal telah pun dipadamkan oleh wanita tersebut namun dikongsikan semula oleh pengguna lain merentasi pelbagai media sosial. Perkongsian keluhan tersebut langsung menjadi tular di media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial membangkitkan persoalan sama ada wanita berkenaan faham bahawa petrol RON95 adalah hak eksklusif warganegara Malaysia, dan subsidi tersebut tidak wajar dinikmati oleh warga asing.

“Ni la orng ckp bagi betis nk peha..dia pikir orng heran ke dgan drama air mata senitron dia to..kita yg warga negara pon kemain stuggle nk hidop skrng..dia mudah ii je dh menumpang demand lebih-lebih pulak.”

“Ye la hang dapat spouse visa, bukan dapat warganegara terus. Subsidi di malaysia sah sah la untuk rakyat malaysia. Dah namanya pun subsidi malaysia. ”

Dalam pada itu, sebahagian netizen dari kalangan warga tempatan turut berkongsi yang mereka juga perlu membayar harga pasaran semasa selepas kehabisan penggunaan kuota subsidi. Jadi, tiada timbul istilah perbezaan layanan sekalipun mempunyai subsidi pada dasarnya.

Tidak hanya warga tempatan sahaja, netizen dari Indonesia turut berasa malu dan menegur permintaan yang tidak masuk akal oleh warganya itu yang mahu menikmati subsidi yang tertakluk untuk rakyat asal di sesebuah negara.

“Memang tak cerdik betul sumpah. Cik kak, awak tu walaupun ada dokumen sah, awak bukan warganegara tau. Meluat saya. Maaf cakaplah ya. Malu saya jadi orang Indonesia kalau ada bangsa sendiri yang macam ni. Pening kepala.

“Minta maaf ya rakyat Malaysia, kami sebagai orang Indonesia pun malu tengok bangsa sendiri yang tahap pemikirannya macam tu. Dia ingat bila dia menetap kat Malaysia, dia dah dikira warganegara dan semua benda nak disamakan dengan orang tempatan. Padahal, kalau kita ada visa sekalipun, kita tetap kena bayar ikut harga warga asing. Boleh pula dia buat drama menangis-nangis bagai lagi, aduhai.”

Akhir kata, isu ini jelas membuktikan bahawa penyasaran subsidi BUDI95 dilaksanakan dengan tegas demi kepentingan rakyat Malaysia sahaja. Walaupun mengundang rasa simpati berhubung kos sara hidup, keistimewaan subsidi kekal menjadi hak mutlak warganegara dan menuntut kefahaman serta rasa hormat daripada komuniti warga asing yang menetap di negara ini.