Pemain pertahanan Perak FC, Tommy Mawat Bada menerima komen jelik di laman media sosial miliknya yang menyentuh isu perkauman dari seorang peminat.
Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Tommy memuat naik satu gambar yang menunjukkan peminat itu menghina beliau dengan menyebut keturunan Dayak.
Baca Juga:
- FAM Akan Ambil Tindakan Insiden Arif Aiman Dan Tommy Mawat
- Ini Pesaing Utama Arif Aiman Sekiranya Sertai Rangers
- Pengadil Malaysia Kembali Raih Perhatian
Tommy yang kurang senang dengan komen ini kemudiannya menanggapi perkara ini dimana beliau meminta agar peminat tidak menyebarkan kebencian dalam bola sepak.
“Semua bebas untuk bersuara. Nak marah, tegur, maki semua boleh. Kita hanya manusia biasa dan hidup di atas muka bumi yang sama.
“Jika marah sekalipun, jangan sebut mengenai keluarga dan kaum (Dayak). Ya saya dilahirkam sebagai orang Dayak yang mana sampai hari ini saya masih bangga.
“Jadi abang dan kakak, jangan bangkitkan isu perkauman (anda akan menyesal di kemudian hari). Jangan dayak-dayakkan aku. Macam mana kalau orang Dayak lain nampak dan baca komen kamu. Boleh ke kamu hadap mereka semua?
“Jangan jadi badut dan seorang racist. Jangan sebar kebencian dalam bola sepak. Tuhan berkati kamu. Terima kasih,” katanya.
Baru-baru ini, Tommy Mawat menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air selepas terlibat dalam satu pergaduhan dengan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman ketika pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super baru-baru ini.
Pertelingkahan diantara Arif Aiman & Tommy Mawat di hujung permainan! 🚨#DemiLigaKita #PRKJDT pic.twitter.com/bsO9qbzZaT
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 10, 2024
Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, kedua-dua pemain tersebut tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
“Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut mengenai insiden ini.
“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
“Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu,” kata beliau.