Sejak beberapa hari yang lalu, tular gambar satu parcel yang memaparkan alamat sebuah rumah dengan nota yang menyakitkan hati ditujukan buat rider dan pekerja kurier.

Perkongsian itu menerima pelbagai respons daripada netizen dan rata-rata menuduh tuan rumah itu sebagai seorang yang tidak beradab dan sengaja mencetuskan rasa marah kepada rider.

Baca Juga:

Gambar tersebut sedikit sebanyak telah mengguris perasaan mereka yang bekerja sebagai penghantar barangan dan makanan. Tidak cukup dengan kecaman, alamat rumahnya juga telah diubah dan dilabel dengan perkataan tidak baik di Google Maps.

Menerusi perkongsian saudara Shahruddin Helmy – Eddie di Facebook, beliau berkata tuan rumah tersebut telah menghubunginya dan mahu membuat permohonan maaf kerana khilafnya dan terlalu emosi disebabkan rider yang kerap tersalah hantar barangannya ke rumah lain.

Menurut Shahruddin, sebagai seorang yang juga bekerja dalam bidang penghantaran, beliau juga rasa terkesan dengan tulisan pada gambar tersebut.

“Kalau kena dekat saya, mungkin saya juga akan tularkan parcel ini supaya ia menjadi tauladan kepada pihak lain.

“Tetapi saya dikejutkan oleh 1 mesej diawal subuh tadi. Datangnya daripada follower FB saya. Beliau bercerita mengenai kesilapannya tentang tulis alamat di parcel tersebut dan beliau ingin memohon maaf secara terbuka.

Pada peringkat awal saya malas hendak menulis kerana saya dah lama tak menulis. Tapi memandangkan pemilik Facebook ini ingin meminta maaf, jadi saya rajinkan diri untuk menulis bagi pihak beliau,” ujar Shahruddin.

Tuan rumah itu berkata ini kali pertama dalam hidupnya ‘dikecam’ sedemikian. Semuanya bermula apabila rider penghantar barangan kerap tersalah hantar barangannya ke tempat lain. Kecewa dengan perkara itu menyebabkan beliau menulis alamat sedemikian.

“Siapalah kita ini sebagai manusia untuk menghukum kesilapan orang lain dan saya berharap pemilik parcel ini betul-betul insaf dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

“Di bulan Ramadan yang mulia ni harap kita semua dapat memaafkan kesilapan beliau dan memadam semua perkongsian dengan butirannya dan juga memadam nama beliau di Google Maps,” tambah Shahruddin.