Kecoh pada hari semalam berhubung Alif Teega yang sudah berkahwin bersama isteri keduanya. Jadi, netizen mulai mengaitkan isu tersebut dengan sejumlah Alif lain namun salah seorang daripadanya menerima pujian kerana masih mempamerkan perwatakan yang baik.

Selebriti serba verstail dan bebas kontroversi, Alif Satar menyatakan dirinya ‘tidak selesa’ apabila dipuji oleh pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berhubung keperibadiaannya seperti mana dimuat naik dalam aplikasi baru-baru ini.

Menerusi ciapan tersebut, pakar motivasi itu telah memuji Alif Satar kerana serba boleh dan mempunyai gaya hidup yang seimbang iaitu dunia dan akhirat. Selain memiliki suara sedap, beliau dilihat suka berkongsi hal kecergasan dan ada asas agama yang mantap.

Segan dipuji daripada berita negatif orang

Alif satar
Sumber Gambar: IG @alifsatar

Penyanyi berusia 33 tahun tersebut berkata dia bukanlah seorang yang sempurna untuk menerima pujian seperti itu. Hal ini kerana dirinya merasakan masih mempunyai kekurangan, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan kisah negatif kehidupan seseorang.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu juga berkata, dia tidak berasa bangga dengan pujian diterima, termasuk namanya terbabit dalam isu rumah tangga pasangan pempengaruh media sosial, Alif Teega, semalam.

“Saya segan sebab pujian itu mungkin datang daripada berita negatif orang lain. Ia mungkin kedengaran kelakar dalam media sosial, tapi kehidupan orang lain yang terjejas dan banyak hati terguris mengenainya.

“Netizen pun komen pedas dan kelakar. Tapi, saya tak suka komen sebab tak tahu apa nasib masa depan dan pengakhiran hidup saya pun tak tahu bagaimana,”ujarnya.

Pun begitu, Alif bersyukur apabila menerima komen positif daripada pakar motivasi terkenal namun dia meletakkan segala pujian hanya untuk Allah.

“Jadi, Fadzilah komen itu Alhamdulillah, tapi segala pujian itu semuanya bagi Allah. Saya sedikit pun tak rasa bangga dengan pujian. Orang boleh cakap apa-apa sama ada negatif atau positif.

“Saya tak berkenan jika pujian itu datang daripada berita tak baik orang lain. Saya pun terkejut apabila dapat mesej atau komen bertanya bila saya bernikah lain,”luah Alif Satar lagi.

Syukur aib masih ditutup

Tambah Alif, dia tidak seronok apabila pujian itu timbul daripada berita negatif orang lain kerana ia berkemungkinan memberi kesan kepada individu terbabit.

Alif berkata, dirinya tidak berani untuk komen berlebihan kerana tidak tahu nasib pada masa akan datang.

“Berat sebenarnya pujian itu, mana ada orang sempurna. Ini pun nasib baik Allah tutup aib saya. Kalau aib saya dibuka macam mana?

“Saya pun tak tahu apa jadi esok lusa kepada saya. Jadi, saya tak berani hendak kata apa-apa. Bila perkara ini terjadi, ia sebagai muhasabah kepada diri sendiri,” katanya.

Penyanyi berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak terganggu dengan usikan netizen dengan mengaitkan dirinya dengan isu terbabit kerana memiliki nama yang sama.