Bayangkan, berkahwin bukan kerana cinta atau mahu membina keluarga, tetapi semata-mata untuk mendapatkan sekeping lesen perniagaan.
Bunyinya seperti plot drama televisyen, namun realitinya, taktik perkahwinan palsu antara warga asing dan wanita tempatan kini dilaporkan semakin serius berlaku di Selangor.

Isu ini sebenarnya bukanlah perkara baharu. Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, taktik licik ini dipercayai sudah berakar umbi sejak lebih sekira-kira satu dekad yang lalu demi membolehkan warga asing ‘membeli’ hak berniaga dan terus menetap di Malaysia lapor Harian Metro.
“Terdapat perkahwinan yang dilakukan semata-mata bagi membolehkan warga asing menjalankan perniagaan dan terus berada di negara ini,” kata beliau dalam satu sidang media di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.
Modus Operandi ‘Alasan Bantu Isteri’
Di sinilah timbulnya dilema terbesar buat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Modus operandi yang digunakan oleh kelompok ini sangat sukar dijerat kerana dari sudut dokumentasi, segala-galanya kelihatan sah di pejabat PBT.
Apabila lesen perniagaan didaftarkan atas nama isteri yang merupakan warga tempatan, premis tersebut secara automatik beroperasi secara legal.
Apabila serbuan dilakukan, warga asing ini sudah mempunyai skrip jawapan yang sedia maklum untuk mengelak daripada tindakan undang-undang.
“Modus operandi ini antara cabaran yang menyukarkan PBT mengambil tindakan kerana lesen perniagaan diperoleh atas nama pasangan yang juga warga tempatan. Apabila operasi penguatkuasaan dijalankan, individu terbabit sering memberi alasan mereka hanya membantu pasangan menguruskan perniagaan,” jelas Ng Suee Lim.
Beliau menambah, situasi ini meletakkan penguatkuasa dalam kedudukan yang serba salah:
“Kita berdepan dilema untuk mengambil tindakan kerana lesen itu sah dan didaftarkan atas nama warga tempatan.”
Kawasan ‘Hotspot’ Jadi Perhatian
Pihak PBT tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan lesen perniagaan dalam situasi sedemikian, kecuali jika terbukti terdapat pelanggaran syarat lesen yang nyata atau kesalahan lain di bawah undang-undang berkaitan.
Walau bagaimanapun, lambakan peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan tanpa kawalan ini tetap menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat. Antara kawasan di Selangor yang dikesan aktif dengan aktiviti seumpama ini melibatkan kawasan tumpuan perindustrian seperti:
* Sungai Rasau
* Seksyen 15, Shah Alam
Tindakan Tegas Tetap Berterusan
Meskipun berdepan kekangan undang-undang dalam isu perkahwinan palsu ini, Ng Suee Lim menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi tetap akan diambil terhadap mana-mana warga asing yang dikesan beroperasi tanpa lesen.
Bagi menangani lompang (loophole) undang-undang ini, kerajaan negeri Selangor tidak akan berdiam diri. Langkah proaktif sedang dirangka melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan bagi mencari kaedah terbaik untuk membendung isu ini daripada terus melarat.