Baru-baru ini seorang usahawan, Danny meluahkan kekecewaan selepas mendapati wanita yang ingin beliau kahwini, sebenarnya berstatus isteri orang.

Sehubungan itu, Dr Qaseh tampil memberikan penjelasan eksklusif kerana enggan isu itu berpanjangan atau diperbesarkan.

Baca Juga:

“Ya, saya isteri orang, saya akuinya dan apa yang berlaku adalah khilaf saya sebagai manusia biasa. Biarlah letak semua kesalahan itu pada saya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ia juga susulan kenyataan dibuat Danny dalam live di TikTok, semalam yang mengatakan dia menipu dan keluarganya bersubahat.

“Saya memang sudah berkahwin lima tahun lalu dengan adik angkat dan Danny pada mulanya tak tahu hal itu.

“Tapi selepas berlaku insiden seorang lelaki mengaku suami saya, barulah saya ceritakan kepada Danny dan ada bincang dengannya, dia minta saya uruskan dahulu apa yang patut dengan suami, selepas itu kami boleh meneruskan niat untuk bernikah.

“Tapi semalam, dia (Danny) keluarkan kenyataan di live TikTok, saya pula ada menontonnya dan sangat terkejut. Mulanya memang marah dan fikir tindakannya keterlaluan kerana cakap secara terbuka.

“Namun, kalau saya dan dia saling berlawan kenyataan, tidak akan habis, jadi lebih baik saya mengalah. Mungkin dengan cara itu, isu berkenaan akan berakhir,” petik perkongsiannya menerusi Harian Metro.

Menurut Dr Qaseh lagi, dia sudah tiada perasaan terhadap suaminya, namun enggan berkongsi kisah peribadi mereka — jawabnya sejurus ditanya mengapa menjalin hubungan dengan lelaki lain ketika masih berstatus isteri orang.

“Dia (suami) juga pernah beritahu saya yang dia akan lepaskan (cerai), jika saya ada orang lain, begitu juga sebaliknya dan ditakdirkan, Danny hadir dalam hidup saya.

“Suami tahu tapi itulah, hati manusia ini berbolak balik dan mungkin sebab banyak campur tangan orang luar, perkara jadi macam apa yang tular itu,” katanya.

Tambahnya lagi, dia dan suami sudah berbincang dengan baik dan kini dalam proses memfailkan perceraian.

“Perceraian itu bukan kerana saya nak teruskan hubungan dengan Danny tetapi demi masa depan masing-masing.

“Urusan dengan Danny pula, saya tak rancang berjumpanya dalam waktu terdekat, tetapi akan mengembalikan cincin nikah pemberiannya melalui kakitangannya,” terangnya kepada Harian Metro.

Dr Qaseh akui ahli keluarga sendiri turut menghentam dirinya, bagaimanapun mereka mula faham selepas diterangkan perkara sebenar.

“Apapun, saya percaya Allah uji sebagai tanda Dia ingat dengan saya hamba-Nya,” katanya yang menyerahkan soal jodoh kepada Ilahi dan akan lebih berhati-hati untuk menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki selepas ini.

Terdahulu, Danny membuat live TikTok mengakui dirinya teraniaya selepas mendapati Dr Qaseh sebenarnya berstatus isteri orang.

Sumber