Dalam dunia hartanah digital, AI.com boleh dianggap sebagai “Menara TRX”. Sesiapa yang memilikinya bukan sekadar ada laman web, tapi memegang identiti paling berharga dalam revolusi Kecerdasan Buatan (AI).

Baru-baru ini, pemilik terbaharu domain tersebut mencetuskan spekulasi apabila mendakwa beliau telah menerima tawaran yang jauh lebih tinggi daripada harga belian asal, malah yakin nilainya boleh mencecah $1 bilion (sekitar RM4.4 bilion) pada masa hadapan.

Enggan Jual Walau Ditawar RM2.2 Bilion

Bukan semua orang mampu bertenang apabila ditawarkan $500 juta (sekitar RM2.21 bilion) untuk pembelian aset digital. Namun, itulah yang dilakukan oleh pemilik baharu domain AI.com.

Meskipun menerima tawaran lumayan sebaik sahaja berjaya memiliki nama domain “keramat” tersebut, beliau memilih untuk berkata “tidak”.

Bagi beliau, nilai jangka panjang domain tersebut jauh lebih berharga daripada keuntungan segera setengah bilion dolar berkenaan.

Keputusan untuk tidak menjual itu mempunyai sebab tersendiri. Pemiliknya mendedahkan rancangan besar untuk membangunkan sebuah platform AI berejen (Agentic AI) di bawah jenama AI.com.

Berbeza dengan bot sembang biasa, AI berejen ini direka untuk melakukan tugasan kompleks secara autonomi, sekali gus meletakkan AI.com sebagai hab utama teknologi masa hadapan, bukan sekadar sebuah laman sesawang informasi.

Sebelum ini, pengasas laman dagangan mata wang kripto, Crypto.com, telah membeli domain AI.com pada harga $70 juta dari warga Malaysia, iaitu harga tertinggi yang pernah didedahkan bagi penjualan nama domain.