Suspek insiden tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berkata dia masih menyayangi isterinya.

“Assalamualaikum, Saya masih menyayangi isteri saya, Farah Md Isa, terima kasih,” ujar Hafizul Hawari ketika tiba di Kelantan pada Isnin.

Mahkamah Majistret menerusi Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri kini melanjutkan tempoh reman terhadap Hafizul selama lima hari bermula Selasa hingga Sabtu ini.

Suspek tiba kira-kira pukul 8.35 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.

Menerusi laporan sebelum ini, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. Tempoh remannya berkuat kuasa bermula 16 hingga 22 April ini.

Turut dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 (memiliki kad pengenalan individu lain) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menggunakan nombor plat kenderaan palsu).

Untuk rekod, suspek melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau dikenali sebagai Farah CIE di Balai ketibaan KLIA 1 pada 14 April lalu.

Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar sementara satu lagi peluru mengenai pengawal peribadi isterinya yang berada di lokasi kejadian.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal sehingga terpaksa ditidurkan akibat kecederaan kritikal itu.

Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

 

Sumber