“Saya juga mesti meminta maaf kepada Aishwarya Rai jika dia berasa sakit hati. Tetapi saya fikir dia tidak mengenali saya dan dia tidak peduli,” kata cef selebriti terkemuka, Chef Wan selepas menjadi bualan ramai apabila beliau meninggalkan satu komen yang disifatkan berbaur perkauman pada gambar pelakon Bollywood terkenal, Aishwarya Rai baru-baru ini.

Gara-gara komen itu, perkara tersebut telah menjadi kes siasatan polis. Chef Wan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Baca Juga:

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari memaklumkan, pihaknya menerima satu laporan berhubung kes itu.

Rentetan tidak mahu isu itu berpanjangan, Chef Wan telah membuat permohonan maaf terbuka dalam satu hantaran Instagram pada pagi tadi.

Menurutnya, komen yang ditulis itu langsung tidak berniat untuk memperolok-olok upacara keagamaan Hindu.

Dalam masa sama, Chef Wan terkilan apabila komen seloroh itu disalah tafsir sehingga menjadi satu perkara yang sangat serius.

“Menjadi selebriti besar seperti dia (Aishwarya Rai) atau orang lain apabila anda berjalan di atas permaidani merah itu untuk mempamerkan fesyen atau pereka anda, lebih baik anda bersedia untuk semua jenis kritikan.

“Sebagai selebriti pun, saya selalu guna seluar pendek, macam-macam orang kutuk dan maki hamun saya dan macam-macam lagi lagi.

“Walaupun apa yang saya komen itu satu jenaka dan jujur pun disalah tafsir dan disalah faham pun, saya telan saja maki hamun mereka berbakul-bakul.

“Sampai ada yang buat laporan polis dan tuduh saya macam-macam pun saya sabar dan telan sahaja.

“Berani buat, berani tanggung lah,” ujar Chef Wan.

Sementara itu, Ahmad Sukarno turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh isu 3R di mana-mana platform kerana ia boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam pelbagai kaum di Malaysia.

Terdahulu, Chef Wan dikecam ramai selepas ‘komen jenaka’ ditinggalkan pada gambar Aishwarya Rai pada Instagram @namastebollywood.in disalah erti.

Ramai berpendapat sebagai seorang cef selebriti beliau sepatutnya menjaga adab semasa menggunakan media sosial supaya tidak mencalarkan imejnya.