Pemain tengah yang terkenal dengan kontroversi, Radja Nainggolan tanpa berselindung mengkritik bekas pengurus skuad kebangsaan Belgium, Roberto Martinez tanpa belas kasihan.

Nainggolan berpendapat pengendali kelahiran Sepanyol itu telah mensia-siakan era emas bola sepak Belgium yang diperkuatkan dengan individu berkelas dunia seperti Eden Hazard, Kevin De Bruyne, Thibaut Courtois, Romelu Lukaku dan ramai lagi.

Baca Juga:

Malah dalam masa sama,  beliau yang turut memiliki salasilah dari Indonesia menyesal dengan keputusan memilih Belgium dan tidak bersama skuad Garuda.

Radja Nainggolan Lepas Geram

“Saya tidak memberi impak seperti yang saya mampu tetapi itu bukan semata-mata salah saya,” kata Nainggolan menurut sumber laporan Goal.

“[Marc] Wilmots tidak menurunkan saya sebagai kesebelasan utama di Euro 2016 tetapi saya buktikan kemampuan saya di sana.”

“Kemudian Martinez datang dan menggugurkan saya tanpa sebarang penjelasan. Alasannya mengarut. Pada pandangan saya, dia bukan seorang pakar bola sepak dan seorang jurulatih yang sangat lemah.”

“Sesiapa yang mengatakan Martinez seorang jurulatih yang bagus sebenarnya tidak faham bola sepak.”

“Seorang jurulatih yang baik memberi pasukan satu idea atau corak permainan. Kami tidak pernah memilikinya di bawah beliau.”

“Bila keadaan menjadi sukar, ia sentiasa sama, bagi bola kepada Hazard atau De Bruyne dan harap mereka boleh selesaikan. Itulah ‘rancangan’nya.”

“Setiap hari saya cakap pada diri sendiri, saya sepatutnya bermain untuk Indonesia.”

“Bukan kerana saya tak suka Belgium saya melalui pengalaman bermain di semua pasukan remaja mereka tetapi rasa hormat yang saya akan dapat di sana pasti berbeza.”

“Pemain seperti Sandy Walsh atau Ragnar Oratmangoen bukanlah bintang besar tapi mereka sangat disayangi.”

“Itu bermakna segalanya,” tambah Nainggolan lagi.

Sumber