Pemain tengah, Radja Nainggolan memang cukup terkenal dengan imej ‘budak nakal’ tak mengira ketika beraksi mahu pun di luar padang bola sepak.

Antara insiden yang mencetuskan kontroversi apabila bekas pemain skuad kebangsaan Belgium itu disingkirkan daripada kelabnya, Royal Antwerp pada Oktober 2022 kerana dengan selamba menghembus asap rokok elektronik (vape) di bangku simpanan.

Baca Juga:

Insiden itu berlaku sebelum perlawanan Liga Divisyen Satu Belgium antara Royal Antwerp dan Standard Liege bermula.

Royal Antwerp pada ketika itu tidak menunggu lama untuk mengumumkan keputusan drastik apabila pantas mengeluarkan kenyataan rasmi sejurus berakhirnya perlawanan tersebut.

Radja Nainggolan
Nainggolan ketika bersama Lokeren-Temse. Kredit Foto: Tom Goyvaerts / BELGA MAG / Belga via AFP

“RAFC mengadakan perbincangan dengan Radja Nainggolan mengenai fungsi umumnya dan tentang bagaimana tingkah laku tertentu mencerminkan kelab dan kumpulan pemain.”

“Kelab telah memutuskan untuk menyingkirkan daripada pasukan utama (A-Team) selama-lamanya.”

“Perjanjian yang jelas juga telah dibuat tentang apa yang kelab kami lakukan dan tidak menjangkakan daripada pemain.”

“Pemain mahupun kelab tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini.”

Mengulas mengenai hukuman tersebut, Nainggolan menerimanya dengan terbuka walaupun beliau merasakan ia adalah satu hukuman yang cukup berat buat beliau.

“Saya boleh minum [arak] dan merokok dengan tenang. Bahkan seorang pemain bola sepak boleh merokok tambahan pula jika mereka tidak mempunyai pekerjaan yang normal,” ujar Radja Nainggolan menurut kenyataan di laman Instagramnya.

Radja Nainggolan
Kredit Foto: BELGA MAG / Belga via AFP

Imej ‘Budak Nakal’ Radja Nainggolan

Ia bukan satu-satunya masalah sikap berkait dengan Radja Nainggolan kerana turut ditangkap memandu dalam keadaan mabuk dan merokok.

Lebih teruk lagi, bekas pemain yang pernah berkelana ke Indonesia untuk menyarung jersi Bhayangkara FC itu turut pernah terlibat dalam organisasi jenayah sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas penyeludupan kokain di Brussels pada 29 Januari 2025. Difahamkan menurut sumber AP News, Nainggolan dibebaskan dengan syarat.

Musim 2024/25 menyaksikan beliau menandatangani kontrak selama lima bulan untuk beraksi bersama kelab liga divisyen dua Belgium, Lokeren-Temse.