Pengendali Belgium, Rudi Garcia, mengutuk secara terbuka pendekatan taktikal Senegal yang menurutnya menjadi punca pasukan Afrika itu gagal mempertahankan kelebihan ketika aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.

Senegal pada satu ketika berada di landasan terbaik untuk mencipta kejutan apabila mendahului Belgium 2-0. Namun, Belgium bangkit menjaringkan tiga gol untuk melakar kemenangan dramatik 3-2 dan mara ke pusingan 16 terbaik.

Selepas tamat perlawanan, Garcia menjelaskan beliau sudah menjangkakan Senegal akan mengubah pendekatan mereka apabila memiliki kelebihan dua gol, sesuatu yang disifatkannya sebagai satu kesilapan besar.

“Kami tahu pasukan seperti ini. Mereka akan hilang struktur taktikal mereka pada penghujung perlawanan.

“Kami tahu apabila mereka mendahului 2-0, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan gawang mereka, dan pada pendapat saya, itu satu kesilapan besar.” tegasnya.

Seterusnya, Rudi Garcia meminta semua pihak agar mengejutkan mereka agar tidak melakukan perkara yang sama dengan Senegal di masa akan datang, sekiranya mereka lalai dan terikut cara tersebut.

Rudi Garcia menambah: “Ingatkan saya, jika suatu hari nanti kami mendahului 2-0, jangan sesekali buat perkara yang sama.

“Kerana sebaik sahaja anda melepaskan satu gol seperti yang berlaku untuk menjadikan kedudukan 2-1, keseluruhan corak permainan akan berubah.”

Menurut Garcia, keputusan Senegal untuk terlalu bertahan memberikan Belgium lebih banyak penguasaan bola dan keyakinan untuk terus memberi tekanan sehingga berjaya melengkapkan kebangkitan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Belgium mara ke pusingan 16 terbaik dan bakal berdepan Amerika Syarikat, manakala Senegal tersingkir selepas mensia-siakan kelebihan dua gol yang dimiliki.