Bekas pemain skuad kebangsaan Belgium, Radja Nainggolan memilih untuk beraksi dalam saingan Liga Indonesia bagi menghadapi baki saingan musim 2023/2024.

Baru-baru ini, Radja diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu Bhayangkara FC dan ramai yang tertanya-tanya mengenai jumlah gaji yang diterima pemain itu memandangkan beliau mempunyai profil yang tinggi dan pernah beraksi bersama beberapa kelab besar di Itali.

Baca Juga:

Menurut data yang diambil dari Transfermarkt, Radja sebelum ini menerima gaji sebanyak RM1.8 Juta semusim ketika beraksi bersama SPAL dalam saingan Serie A Itali.

Salah satu laman berita negara itu melaporkan Bhayangkara membayar gaji Nainggolan sebanyak RM1.5 Juta untuk tempoh kontrak setengah musim, kurang sedikit berbanding apa yang diterima pemain itu sebelum ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab iaitu Sumardji, pihaknya mendapat bantuan langsung dari penaja kelab untuk membawa pemain berusia 35 tahun itu beraksi di Indonesia.

Antara penaja Bhayangkara musim ini ialah Bank Negara Indonesia (BNI) yang bersetuju untuk membayar gaji Nainggolan selain beberapa produk lain seperti Jasa Raharja, GoJek, Envi, Crystalin, Mitra Keluarga, dan Mills.

“Kehadiran Radja Nainggolan dibantu oleh penaja dimana mereka yang menanggung segala kos. Sebelum memutuskan untuk menandatangani pemain itu, kami berbincang dahulu dengan penaja.

“Kami mengadakan perbincangan dengan pemain dan bersetuju untuk membayar gaji sebanyak RM1.5 Juta untuk setengah musim,” kata Sumardji.

Kehadiran Nainggolan menjadi salah satu usaha kelab itu untuk keluar dari zon penyingkiran dimana mereka menduduki tangga tercorot dengan kutipan 11 mata.

Bhayangkara kini dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Mario Gomez.