Pemain import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Jose Cleylton menegaskan beliau tidak pernah berdepan masalah tunggakan gaji dalam kariernya sebelum beraksi di Liga Malaysia.

Menurut laporan Sinar Harian, Cleylton menegaskan sepanjang 13 tahun karier sebagai pemain profesional dan beraksi di beberapa negara sebelumnya, ini merupakan kali pertama gajinya tertunggak.

Baca Juga:

Pemain import Kedah itu turut menggesa agar pengurusan pasukan segera menyelesaikan masalah yang berlaku bagi memastikan para pemain mendapat hak masing-masing.

“Sepanjang 13 tahun bergelar pemain profesional, saya belum pernah berdepan situasi seperti ini.

“Saya masih mengharapkan penyelesaian dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Semua orang tahu sudah tahu masalah yang sedang dihadapi oleh kami. Namun semua pemain masih tetap bekerja keras dan cuba melakukan apa yang sepatutnya dilakukan seperti turun berlatih,” katanya

Isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh Kedah menyebabkan pemain pasukan itu mengambil tindakan memboikot sesi latihan beberapa kali sebagai tanda protes.

Awal bulan ini, pemain Kedah memboikot sesi latihan selepas tiada langkah proaktif yang diambil pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Sebelum ini, langkah sama diambil oleh pemain Kedah Darul Aman sebelum aksi menentang Kuala Lumpur City yang mana pasukan itu tewas dengan keputusan 5-0.

Ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain terpaksa menurunkan pemain muda yang baru sahaja menjalani latihan selepas tamat Sukan Malaysia (SUKMA).

Pemain senior kemudiannya kembali diturunkan dalam perlawanan menentang Sri Pahang yang mana kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 2-2.

Masalah tunggakan gaji ini bagaikan tiada kesudahan dimana musim ini, ada beberapa pasukan yang gagal membayar gaji dan pegawai pasukan selama beberapa bulan.

Para pemerhati sukan juga berpendapat Liga Malaysia berpotensi lingkup dalam masa beberapa tahun lagi sekiranya isu tunggakan gaji tidak diselesaikan secara serius menerusi transformasi.

Selain Kedah dan KL City, beberapa pasukan lain dalam Liga Super turut dilaporkan mengalami tunggakan gaji seperti Sri Pahang dan Sabah.